Bahagian Arkib Universiti (BARU), Jabatan Perpustakaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus komited dalam usaha memelihara khazanah ilmu melalui penyediaan Khidmat Pemuliharaan Buku, yang bertujuan membantu memulihkan buku-buku yang mengalami kerosakan agar dapat terus digunakan, dirujuk dan dipelihara untuk manfaat generasi kini serta akan datang.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan BARU dalam memastikan bahan bercetak yang mempunyai nilai akademik, sejarah dan warisan sentiasa berada dalam keadaan baik. Pemeliharaan bahan-bahan ini amat penting bagi menjamin kesinambungan akses kepada sumber ilmu serta mengekalkan warisan dokumentari institusi.
Perkhidmatan yang ditawarkan merangkumi pelbagai proses pemuliharaan seperti pembaikan kulit buku yang tercabut, jahitan semula tulang buku yang rosak, penampalan halaman yang koyak serta pemulihan buku yang mengalami kerosakan serius. Melalui proses pemuliharaan yang sistematik dan teliti, buku-buku yang terjejas dapat dipulihkan sekali gus memanjangkan jangka hayat penggunaannya serta memastikan kandungan ilmu yang terkandung di dalamnya terus terpelihara.
Program ini telah dilaksanakan pada 11 Jun 2026 (Khamis) dari 10.30 pagi hingga 12.30 tengah hari bertempat di Kompleks Kejuruteraan (Perpustakaan Kejuruteraan). Sepanjang program berlangsung, warga fakulti berpeluang mendapatkan khidmat nasihat dan menyerahkan bahan yang memerlukan pemuliharaan kepada pegawai yang bertugas.
#uitm
#uitmdihatiku
#IAW2026
#internationalarchivesweek2026
#bookrepair




