Shah Alam, 09 Jun 2026 – Media sosial kini bukan lagi sekadar platform komunikasi dan perkongsian maklumat, malah berperanan sebagai medium strategik dalam usaha memelihara khazanah sejarah serta memori institusi untuk generasi akan datang.
Bersempena Sambutan Hari Arkib Antarabangsa 2026 Peringkat Universiti Teknologi MARA (UiTM), Bahagian Arkib Universiti telah menganjurkan sesi perkongsian bertajuk “Aplikasi Penggunaan Media Sosial dan Kesukarelawanan dalam Mengumpul Bahan Bercetak untuk Bahagian Arkib Universiti”. Program ini telah disampaikan oleh Encik Mohammad Sufian Abdul Manan, Penolong Pendaftar Kanan.
Dalam sesi tersebut, beliau menjelaskan bagaimana pendekatan kesukarelawanan digital dapat dimanfaatkan bagi menggalakkan penglibatan alumni, warga universiti dan masyarakat dalam usaha menyumbang bahan-bahan bercetak yang mempunyai nilai sejarah dan dokumentasi yang tinggi. Antara bahan yang boleh disumbangkan termasuklah keratan akhbar, majalah, risalah, program acara, gambar serta pelbagai penerbitan bersejarah yang berkaitan dengan UiTM.
Beliau turut menekankan bahawa penggunaan media sosial mampu memperluaskan jaringan komuniti, meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pemeliharaan rekod sejarah serta menggalakkan penyertaan sukarelawan dalam usaha memperkayakan koleksi Bahagian Arkib Universiti. Melalui platform digital, maklumat berkaitan bahan arkib dapat disebarkan dengan lebih pantas dan meluas, sekali gus membuka peluang kepada orang ramai untuk turut menyumbang kepada pemeliharaan warisan institusi.
Program ini berjaya memberi pendedahan kepada peserta mengenai peranan media sosial dalam pengurusan arkib moden serta kepentingan kerjasama komuniti dalam memastikan khazanah sejarah universiti terus dipelihara dan dapat dimanfaatkan oleh generasi akan datang.
Bagi mereka yang tidak berkesempatan mengikuti sesi secara langsung, rakaman program boleh ditonton melalui saluran berikut:
• YouTube Perpustakaan UiTM: https://www.youtube.com/watch?v=O-s_1bMItzs
#UITM
#uitmdihatiku
#UiTM7Dekad
#IAW2026
#internationalarchivesweek2026




