Aktiviti Hari Arkib : Taklimat Jabatan Warisan Negara
Sempena Sambutan Hari Arkib Antarabangsa 2026 Peringkat Universiti Teknologi MARA (UiTM), satu sesi perkongsian bertajuk “Memaknakan Warisan sebagai Memori Kolektif: Kepentingan Pemeliharaan Sejarah Institusi” telah diadakan bagi meningkatkan kesedaran warga universiti mengenai kepentingan memelihara warisan dan sejarah institusi sebagai aset bernilai untuk generasi masa hadapan.
Sesi perkongsian ini telah disampaikan oleh Encik Muhamad Mansur bin Ahmad Kusosi, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Konservasi, Jabatan Warisan Negara. Beliau berkongsi pandangan dan pengalaman berkaitan peranan warisan dokumentari dalam membentuk memori kolektif sesebuah organisasi serta kepentingan usaha pemeliharaan sejarah institusi secara berterusan.
Menurut beliau, sejarah sesebuah institusi bukan sekadar catatan peristiwa lampau, malah merupakan memori kolektif yang membentuk identiti, nilai dan hala tuju organisasi. Dalam era transformasi digital yang pesat, usaha memelihara warisan institusi menjadi semakin penting bagi memastikan setiap rekod, dokumen dan naratif sejarah terus terpelihara sebagai sumber rujukan yang sahih dan bernilai untuk generasi akan datang.
Perkongsian tersebut turut memberi pendedahan mengenai kepentingan pengurusan rekod yang sistematik, pemeliharaan bahan warisan dokumentari serta strategi pemuliharaan yang dapat membantu organisasi mengekalkan kesinambungan legasi dan memori institusi. Para peserta juga didedahkan kepada cabaran semasa dalam pemeliharaan bahan arkib serta pendekatan terbaik yang boleh dilaksanakan bagi memastikan warisan organisasi terus lestari.
#uitm
#uitmdihatiku
#UiTM7Dekad
#internationalarchivesweek2026
#IAW2026



