Pameran Himpunan Mesra Alumni UiTM & Sambutan Evolusi 7 Dekad UiTM Bersama YAB Perdana Menteri

SHAH ALAM, 26 Sept — Perjalanan tujuh dekad Universiti Teknologi MARA (UiTM) kini dirakam, dipelihara dan dihidupkan kembali menerusi Pameran Arkib Universiti yang berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam, hari ini.

Pameran penuh bersejarah ini diadakan bersempena dengan Himpunan Mesra Alumni UiTM & Sambutan Evolusi 7 Dekad UiTM Bersama YAB Perdana Menteri, menghimpunkan ribuan alumni serta warga universiti bagi meraikan warisan dan cemerlang institusi berkenaan.

Menerusi pameran ini, para pengunjung dibawa menelusuri rentetan sejarah UiTM yang bermula daripada penubuhan Dewan Latehan RIDA pada tahun 1956, sebelum berkembang sebagai Maktab MARA, Institut Teknologi MARA (ITM), dan seterusnya menjadi Universiti Teknologi MARA (UiTM) seperti yang dikenali hari ini.

Setiap bahan arkib yang dipamerkan bukan sekadar dokumen, gambar atau catatan lama, malah di sebaliknya tersimpan kisah manusia, aspirasi, perjuangan, pencapaian dan perubahan yang membentuk identiti sebuah institusi pendidikan terbilang yang telah memberi ruang serta peluang kepada jutaan insan.

Tujuh dekad penubuhan ini terbukti bukan sekadar ukuran masa, melainkan sebuah perjalanan berterusan dalam mengangkat martabat pendidikan, memperluas peluang sosioekonomi, serta melahirkan generasi profesional yang menyumbang bakti kepada pembangunan negara.

Pameran ini menyerlahkan hakikat bahawa arkib menyimpan sejarah, alumni menghidupkan memori, manakala generasi masa hadapan meneruskan legasi.

Tujuh Dekad UiTM — Legasi Kita, Masa Depan Bersama.


#AlumniUiTM
#UiTM7Dekad
#Evolusi7DekadUiTM
#UiTMDiHatiku
#UiTM2030

 

Hubungi

Bahagian Arkib Universiti (BARU)
Perpustakaan Tun Abdul Razak,
Blok F, Kompleks Kenanga,
Universiti Teknologi MARA,
40450 Shah Alam,
Selangor Darul Ehsan. Malaysia
Telefon: 03-55443880
Emel: azniza180@uitm.edu.my