Bahagian Arkib Universiti (BARU), Jabatan Perpustakaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah mengadakan Sesi Libat Urus bersama pegawai daripada Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) dan Pejabat Transformasi UiTM pada 25 Jun 2026. Sesi ini telah dipengerusikan oleh Prof. Ts. Dr. Hajah Nor Hayati Saad, Penolong Naib Canselor (Strategi), UiTM.
Sesi libat urus ini diadakan bagi mendapatkan pandangan profesional, nasihat serta penjelasan berkaitan tatacara pengurusan dan pengendalian Dokumen Rahsia Rasmi selaras dengan peruntukan undang-undang dan garis panduan keselamatan yang sedang berkuat kuasa. Di samping itu, perbincangan turut memberi tumpuan kepada cadangan lantikan Pengurus Rekod Rahsia Rasmi di UiTM bagi memperkukuhkan tadbir urus pengurusan rekod keselamatan universiti.
Sepanjang sesi berlangsung, pegawai daripada CGSO telah berkongsi panduan serta amalan terbaik berkaitan pengurusan dokumen rahsia rasmi, termasuk aspek pengelasan, penyimpanan, penggunaan, pengendalian dan pematuhan terhadap prosedur keselamatan. Perkongsian ini memberi nilai tambah kepada usaha UiTM dalam memastikan setiap proses pengurusan dokumen rahsia rasmi dilaksanakan secara sistematik, selamat dan mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Sesi ini turut membuka ruang kepada perbincangan dua hala antara pihak CGSO, Bahagian Arkib Universiti dan Pejabat Transformasi UiTM bagi membincangkan isu-isu semasa, cabaran pelaksanaan serta cadangan penambahbaikan berkaitan pengurusan rekod rahsia rasmi di peringkat universiti. Pendekatan kolaboratif ini diharap dapat memperkukuhkan pelaksanaan tadbir urus rekod yang lebih cekap, berintegriti dan selaras dengan keperluan keselamatan maklumat sektor awam.
Penganjuran sesi libat urus ini mencerminkan komitmen berterusan UiTM dalam memperkasakan pengurusan dan pengendalian Dokumen Rahsia Rasmi melalui kerjasama strategik bersama Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO). Inisiatif ini diharap dapat meningkatkan tahap pematuhan, memperkukuhkan sistem pengurusan rekod keselamatan serta memastikan maklumat rasmi universiti sentiasa dilindungi mengikut piawaian dan peraturan yang berkuat kuasa.
#uitm
#uitmdihatiku
#recordsmanagement
#archives
#governance
#tadbirurusdigital





