Shah Alam, 2026 – Bahagian Arkib Universiti, Jabatan Perpustakaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah menerima seramai 12 orang pelajar Latihan Industri daripada Fakulti Pengajian Maklumat bagi permulaan sesi tahun 2026.
Para pelajar yang terlibat adalah daripada tiga kampus UiTM iaitu Kampus Merbok, Kampus Machang dan Kampus Puncak Perdana. Penempatan ini merupakan sebahagian daripada keperluan program akademik bagi memberi pendedahan secara langsung kepada pelajar dalam bidang pengurusan arkib dan rekod.
Program latihan industri ini bertujuan memberi peluang kepada para pelajar untuk memahami proses pengurusan arkib secara praktikal, di samping meningkatkan kemahiran profesional serta kompetensi dalam pengendalian rekod dan bahan arkib. Sepanjang tempoh latihan, pelajar akan didedahkan kepada aspek pengurusan rekod aktif dan tidak aktif, pemeliharaan bahan arkib, penyusunan koleksi serta penggunaan sistem pengurusan maklumat universiti.
Melalui pengalaman ini, pelajar bukan sahaja berpeluang mempelajari amalan dan standard arkib semasa, malah dapat memahami kepentingan pengurusan maklumat yang sistematik dalam memastikan sumber rujukan akademik dan sejarah universiti sentiasa terpelihara untuk manfaat generasi akan datang.
Bahagian Arkib Universiti berharap program ini dapat melahirkan graduan yang berpengetahuan, berkemahiran dan bersedia menghadapi cabaran dalam bidang pengurusan rekod dan arkib selaras dengan keperluan semasa organisasi dan institusi pendidikan tinggi.


