Bengkel Penyelarasan Klasifikasi Fail Hospital Al-Sultan Abdullah (HASA)

Hospital Al-Sultan Abdullah (HASA), 4–5 Februari 2026 – Perpustakaan Perubatan Tun Abdul Razak telah menganjurkan Bengkel Penyelarasan Klasifikasi Fail yang berlangsung di Bilik Seminar, Wad VIP, Aras 9, HASA. Program selama dua hari ini melibatkan seramai 38 orang Pengurus Rekod Universiti yang berperanan penting dalam memastikan tadbir urus rekod dilaksanakan secara teratur dan berkesan.

Taklimat bengkel telah disampaikan oleh Cik Noor Syafika binti Zulkifeli, Pegawai Eksekutif dan dibantu oleh Puan Nor Hafizah binti Ismail, Pembantu Arkib Kanan dari Bahagian Arkib Universiti, Perpustakaan Tun Abdul Razak, Universiti Teknologi MARA Shah Alam. Sesi bengkel memberi penekanan kepada pemahaman struktur serta pelaksanaan klasifikasi fail yang lebih tersusun selaras dengan keperluan semasa universiti.

Cadangan Klasifikasi Fail Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah diluluskan dalam Mesyuarat Majlis Eksekutif Universiti (MEU) Bil. 25/2024 pada 20 November 2024. Sehubungan itu, penganjuran bengkel ini bertujuan melaksanakan pembangunan sistem klasifikasi fail daripada sistem lama kepada sistem baharu yang merangkumi kategori Fail Urusan Am dan Fail Urusan Fungsian secara lebih sistematik khusus bagi HASA.

Melalui pelaksanaan bengkel ini, pembangunan klasifikasi fail yang dihasilkan akan dimajukan kepada Arkib Negara Malaysia untuk tujuan perakuan. Setelah diperakukan, sistem klasifikasi fail baharu ini akan digunapakai secara rasmi di HASA sebagai langkah memperkukuh pengurusan rekod dan memantapkan penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap serta berintegriti.

 

 

 

Hubungi

Bahagian Arkib Universiti (BARU)
Perpustakaan Tun Abdul Razak,
Blok F, Kompleks Kenanga,
Universiti Teknologi MARA,
40450 Shah Alam,
Selangor Darul Ehsan. Malaysia
Telefon: 03-55443880
Emel: azniza180@uitm.edu.my