Kursus Pengurusan Rekod UiTM Cawangan Perak diteruskan pada hari kedua dengan pengisian yang memberi fokus kepada Pengurusan dan Pengendalian Rahsia Rasmi mengikut peruntukan Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88), Arahan Keselamatan (Semakan dan Pindaan 2017) serta Surat Pekeliling Am Bilangan 8 Tahun 2024: Garis Panduan Pengurusan dan Pengendalian Rahsia Rasmi Dalam Perkhidmatan Awam yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri.
Program yang berlangsung di Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Cawangan Perak ini melibatkan seramai 104 orang warga UiTM dari Kampus Seri Iskandar dan Kampus Tapah. Kursus ini bertujuan memperkukuhkan pengetahuan serta meningkatkan kompetensi peserta dalam pengurusan rekod dan dokumen rahsia rasmi mengikut peraturan serta piawaian keselamatan yang berkuat kuasa.
Sepanjang hari kedua kursus, para peserta telah mengikuti beberapa slot utama yang merangkumi Pengenalan kepada Rahsia Rasmi, Pengurus Rekod Rahsia Rasmi, Perundangan Rahsia Rasmi, Pengelasan dan Pengelasan Semula Rahsia Rasmi, Perubahan Peringkat Keselamatan Rahsia Rasmi serta Sistem Pendaftaran Rahsia. Pengisian ini memberi pendedahan yang komprehensif mengenai tanggungjawab dan tatacara pengurusan dokumen rahsia rasmi bagi memastikan keselamatan maklumat kerajaan sentiasa terpelihara.
Bagi memperkukuhkan kefahaman peserta, sesi amali turut dijalankan melibatkan proses pengelasan dan pengelasan semula rahsia rasmi menggunakan Buku Daftar AM492A dan AM492B. Aktiviti praktikal ini memberi peluang kepada peserta untuk mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari dalam situasi kerja sebenar serta memahami prosedur yang perlu dipatuhi dalam pengurusan dokumen rahsia rasmi.
Selain itu, sesi kuiz turut diadakan bagi menguji tahap kefahaman peserta terhadap topik-topik yang telah dikongsikan sepanjang kursus. Pendekatan interaktif ini berjaya meningkatkan penglibatan peserta serta membantu mengukuhkan pemahaman terhadap aspek perundangan dan prosedur pengurusan rahsia rasmi.
#uitm
#uitmdihatiku
#recordsmanagement
#archives





