Hari Pertama Kursus Pengurusan Rekod UiTM Cawangan Perak

22 Jun 2026 - Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Cawangan Perak telah menganjurkan Kursus Pengurusan Rekod UiTM Cawangan Perak yang berlangsung pada 22 hingga 23 Jun 2026, melibatkan seramai 104 orang warga UiTM dari Kampus Seri Iskandar dan Kampus Tapah. Kursus ini bertujuan meningkatkan kompetensi staf dalam pengurusan rekod terbuka serta Dokumen Rahsia Rasmi selaras dengan tatacara dan peraturan yang berkuat kuasa.

Pada hari pertama kursus, para peserta telah diberikan pendedahan mengenai peranan dan tanggungjawab Pusat Tanggungjawab (PTj) dalam menjayakan Audit Pengurusan Rekod peringkat cawangan yang dijadualkan dilaksanakan pada tahun hadapan. Sesi tersebut telah disampaikan oleh Puan Azura Mohamad Hashim, yang turut berkongsi panduan, keperluan serta persediaan yang perlu diberi perhatian oleh setiap PTj bagi memastikan pelaksanaan audit dapat dijalankan dengan lancar dan berkesan.

Kursus diteruskan dengan taklimat berkaitan Pengenalan Pengurusan Rekod Terbuka, Perundangan Pengurusan Rekod, Klasifikasi Fail, Penawanan dan Penggunaan Rekod serta Pelupusan Rekod yang disampaikan oleh Cik Noor Syafika. Sesi ini memberi pendedahan menyeluruh kepada peserta mengenai prinsip dan amalan terbaik dalam pengurusan rekod yang sistematik, teratur dan mematuhi keperluan perundangan serta dasar universiti.

Melalui perkongsian ilmu yang disampaikan, peserta berpeluang memperkukuhkan kefahaman mengenai kepentingan pengurusan rekod sebagai elemen penting dalam menyokong tadbir urus universiti yang cekap, telus dan berintegriti. Selain itu, kursus ini turut membantu meningkatkan kesedaran mengenai tanggungjawab setiap warga universiti dalam memastikan rekod organisasi diurus dan dipelihara dengan baik sepanjang kitaran hayatnya.

#uitm
#uitmdihatiku
#recordsmanagement
#archives

Hubungi

Bahagian Arkib Universiti (BARU)
Perpustakaan Tun Abdul Razak,
Blok F, Kompleks Kenanga,
Universiti Teknologi MARA,
40450 Shah Alam,
Selangor Darul Ehsan. Malaysia
Telefon: 03-55443880
Emel: azniza180@uitm.edu.my