UiTM Shah Alam, 20 April 2026 – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Sesi 2025/2026 melakar sejarah tersendiri apabila menjadi kumpulan MPP pertama mengunjungi Bahagian Arkib Universiti, UiTM Shah Alam sebagai satu inisiatif memperkukuh kefahaman mahasiswa terhadap kepentingan pengurusan rekod serta pemeliharaan warisan institusi.
Kunjungan bermakna tersebut telah disambut oleh Pengarah Bahagian Arkib Universiti, Encik Ahmad Amiri Mohamad, yang meraikan kehadiran seramai 13 orang mahasiswa MPP diketuai oleh Yang DiPertua MPP, saudara Mohamad Adib Hazim Mohamad Razali.
Dalam sesi tersebut, saudara Adib turut menyerahkan tujuh (7) poster Carta Organisasi Majlis Perwakilan Pelajar terdahulu serta sehelai keratan akhbar untuk simpanan dan pemeliharaan Bahagian Arkib Universiti sebagai bahan rujukan sejarah mahasiswa pada masa hadapan.
Menariknya, delegasi MPP turut diberikan taklimat khas oleh Pelajar Latihan Industri dari Fakulti Sains Maklumat mengenai pengalaman mereka dalam menguruskan rekod penting universiti. Pendekatan ini memberi nilai tambah kerana perkongsian dibuat secara lebih santai dan dekat di hati – daripada mahasiswa kepada mahasiswa.
Lawatan ini mencerminkan komitmen MPP dalam menghargai sejarah, memahami kepentingan dokumentasi serta memperkukuh hubungan antara kepimpinan mahasiswa dan institusi universiti.
#uitm
#uitmdihatiku
#arkib




