Kuala Lumpur, 5 Jun 2026 – Bahagian Arkib Universiti (BARU), Jabatan Perpustakaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah mengadakan kunjungan hormat ke Arkib Negara Malaysia (ANM) sebagai usaha memperkukuh hubungan strategik serta meneroka peluang kerjasama yang lebih menyeluruh dalam bidang pengurusan rekod dan arkib.
Delegasi UiTM diketuai oleh Ts. Haji Azizi bin Haji Jantan, Ketua Pustakawan UiTM dan disambut oleh YBrs. Tuan Haji Zaidin Mohd Noor, Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia. Kunjungan ini menjadi platform penting bagi kedua-dua institusi untuk bertukar pandangan dan pengalaman berkaitan pengurusan rekod, pentadbiran arkib serta pemeliharaan khazanah dokumentari negara.
Sesi perbincangan yang berlangsung dalam suasana mesra dan profesional telah memfokuskan kepada hala tuju serta skop kolaborasi antara ANM dan BARU, khususnya dalam aspek Pengurusan Rekod, Pentadbiran Arkib, Pemuliharaan dan Pemeliharaan Rekod Bernilai Arkib, serta pembangunan kompetensi sumber manusia dalam bidang pengurusan maklumat dan warisan dokumentari.
Melalui perkongsian kepakaran dan amalan terbaik yang dibincangkan, kedua-dua pihak optimis bahawa kerjasama yang terjalin dapat memperkukuh pengurusan rekod institusi secara lebih sistematik, sekaligus menyumbang kepada kelestarian memori institusi dan warisan dokumentari negara untuk generasi akan datang.
Kunjungan ini turut memberi peluang kepada delegasi UiTM untuk melihat secara lebih dekat dokumen-dokumen bersejarah berkaitan MARA College dan Institut Teknologi MARA (ITM) yang disimpan dalam koleksi Arkib Negara Malaysia. Pendedahan tersebut memberikan nilai tambah kepada usaha pendokumentasian sejarah UiTM serta memperkukuhkan kesedaran mengenai kepentingan pemeliharaan rekod dan arkib sebagai sumber rujukan yang bernilai tinggi.
#uitm
#uitmdihatiku
#arkib
#archives
#recordsmanagement




