Kunjungan Mantan Ketua Kajian Pentadbiran dan Undang-Undang ITM

11 Mac 2026 – Shah Alam, Bahagian Arkib Universiti berbesar hati menerima kunjungan mantan Ketua Kajian Pentadbiran dan Undang-undang ITM (1979–1983), Haji Mohamad Bokhari bin Sharif. Pertemuan singkat yang berlangsung pada pagi ini telah disambut oleh Encik Ahmad Amiri Mohamad, Pengarah Bahagian Arkib Universiti.

Kunjungan tersebut membuka kembali lembaran sejarah ketika era awal penubuhan Institut Teknologi MARA (ITM). Perbualan yang berlangsung turut menyelusuri cabaran dan aspirasi dalam pembangunan mahasiswa pada ketika itu, di samping mengangkat kisah tokoh-tokoh penting yang telah menyumbang kepada pembentukan legasi institusi.

Dalam pertemuan tersebut, beliau turut melahirkan penghargaan atas rakaman foto yang terdapat dalam koleksi arkib universiti ketika beliau masih berkhidmat sekitar tahun 1980-an. Koleksi tersebut menjadi bukti dokumentasi penting yang merakamkan perjalanan sejarah dan pembangunan institusi pada waktu itu.

Perkongsian beliau bukan sekadar mengimbau kenangan, malah menjadi sumber rujukan yang amat berharga dalam usaha memperkukuh dokumentasi sejarah serta memelihara warisan universiti untuk tatapan generasi akan datang.

Hubungi

Bahagian Arkib Universiti (BARU)
Perpustakaan Tun Abdul Razak,
Blok F, Kompleks Kenanga,
Universiti Teknologi MARA,
40450 Shah Alam,
Selangor Darul Ehsan. Malaysia
Telefon: 03-55443880
Emel: azniza180@uitm.edu.my