Kunjungan Penandaarasan UTHM ke Galeri Tun Abdul Razak Perkukuh Jaringan Profesional dan Perkongsian Ilmu

23 Jun 2026, Shah Alam – Galeri Tun Abdul Razak (GTAR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) berbesar hati menerima kunjungan lawatan penandaarasan daripada delegasi Perpustakaan Tunku Tun Aminah, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang diketuai oleh Encik Mohd Noor Hasman bin Mohd Tumari, Timbalan Ketua Pustakawan UTHM.

Lawatan ini menjadi platform yang signifikan dalam memperkukuhkan hubungan profesional serta memperluaskan jaringan kerjasama antara kedua-dua institusi melalui perkongsian pengalaman, idea dan amalan terbaik dalam pengurusan galeri, pemeliharaan warisan serta penyampaian maklumat kepada masyarakat.

Lebih bermakna, kunjungan tersebut turut membawa nilai sentimental apabila empat orang ahli delegasi merupakan alumni Institut Teknologi MARA (ITM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) daripada Fakulti Pengurusan Maklumat. Kehadiran mereka seolah-olah mengembalikan nostalgia dan memperlihatkan hubungan yang terus terjalin erat antara alumni dengan alma mater mereka.

Sepanjang lawatan, para delegasi berpeluang meninjau koleksi serta pameran yang terdapat di Galeri Tun Abdul Razak, di samping bertukar pandangan mengenai pengurusan koleksi warisan, aktiviti galeri dan usaha pemeliharaan sejarah institusi. Sesi perkongsian yang berlangsung secara santai tetapi penuh bermakna ini membuka ruang kepada pertukaran ilmu dan pengalaman yang dapat dimanfaatkan oleh kedua-dua pihak.

Menyingkap sejarah penubuhan UTHM, institusi tersebut memulakan perjalanannya pada tahun 1993 sebagai Pusat Latihan Staf Politeknik (PLSP). Melalui perkembangan dan transformasi yang berterusan, institusi ini terus berkembang sehingga memperoleh pengiktirafan sebagai sebuah universiti penuh pada tahun 2007. Perjalanan tersebut mencerminkan komitmen UTHM dalam memperkukuh pendidikan tinggi dan pembangunan modal insan negara.

Galeri Tun Abdul Razak sentiasa komited dalam memelihara dan mempromosikan warisan sejarah serta sumbangan tokoh-tokoh penting negara untuk tatapan masyarakat. Sehubungan itu, GTAR dengan penuh takzim menjemput seluruh warga universiti dan masyarakat umum untuk berkunjung serta menerokai khazanah warisan yang dipamerkan.

#GTAR 
#GaleriTunAbdulRazak 
#UiTM

 

Hubungi

Bahagian Arkib Universiti (BARU)
Perpustakaan Tun Abdul Razak,
Blok F, Kompleks Kenanga,
Universiti Teknologi MARA,
40450 Shah Alam,
Selangor Darul Ehsan. Malaysia
Telefon: 03-55443880
Emel: azniza180@uitm.edu.my