Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Cawangan Selangor telah menganjurkan Kursus Pemerkasaan Pengurusan Dokumen Rahsia Rasmi UiTM Cawangan Selangor pada 29 Jun 2026 bagi meningkatkan kefahaman dan kompetensi warga universiti dalam aspek pengurusan serta pengendalian dokumen rahsia rasmi.
Kursus ini telah disampaikan oleh Puan Azura Mohamad Hashim, Timbalan Ketua Pustakawan, Bahagian Arkib Universiti, Universiti Teknologi MARA (UiTM), yang berkongsi pengetahuan, pengalaman serta amalan terbaik berkaitan pengurusan dokumen rahsia rasmi mengikut peraturan dan garis panduan yang berkuat kuasa.
Sepanjang kursus berlangsung, para peserta telah didedahkan kepada pelbagai aspek penting merangkumi pengurusan, pengendalian, penyimpanan, pengelasan serta langkah-langkah keselamatan dokumen rahsia rasmi selaras dengan Arahan Keselamatan Kerajaan. Penekanan turut diberikan kepada kepentingan pematuhan terhadap prosedur keselamatan bagi memastikan kerahsiaan maklumat rasmi sentiasa terpelihara serta mengelakkan sebarang risiko kebocoran maklumat.
Sesi perkongsian yang interaktif ini turut memberi peluang kepada peserta untuk meningkatkan kefahaman mengenai tanggungjawab setiap pegawai dalam mengurus dokumen rahsia rasmi secara sistematik, cekap dan berintegriti. Di samping itu, peserta juga berpeluang mengemukakan pertanyaan serta berkongsi pengalaman berkaitan cabaran pengurusan dokumen rahsia rasmi di pusat tanggungjawab masing-masing.



