10 Februari 2026 – Satu kursus pengurusan rekod telah diadakan bagi memperkukuh kefahaman serta amalan terbaik dalam pengurusan rekod secara sistematik, efisien dan mematuhi perundangan yang berkuat kuasa.
Kursus yang diketuai oleh Puan Azura Mohamad Hashim itu memberi pendedahan menyeluruh kepada warga Universiti Teknologi MARA (UiTM) mengenai kepentingan tadbir urus rekod yang teratur dalam menyokong ketelusan, akauntabiliti serta kelancaran penyampaian perkhidmatan organisasi.
Antara pengisian utama yang diketengahkan termasuk perundangan pengurusan rekod sebagai punca kuasa dan asas pematuhan. Turut dibincangkan ialah asas pengurusan rekod merangkumi kaedah pengendalian surat serta klasifikasi fail yang betul bagi memastikan setiap dokumen diurus dengan lebih teratur dan mudah dirujuk.
Peserta juga didedahkan dengan penggunaan Digital Document Management System (DDMS) sebagai medium pengurusan rekod secara digital yang lebih sistematik dan selamat, selaras dengan keperluan transformasi digital universiti.
Selain itu, kursus ini menekankan aspek penyimpanan dan pemeliharaan rekod bagi menjamin keselamatan serta memastikan jangka hayat rekod terpelihara dengan baik. Perbincangan turut meliputi tatacara pengurusan rekod tidak aktif serta proses pelupusan rekod mengikut prosedur dan garis panduan yang ditetapkan.
Penganjuran kursus ini diharapkan dapat meningkatkan kompetensi warga UiTM dalam mengurus rekod jabatan secara lebih teratur, berintegriti dan selaras dengan keperluan perundangan serta dasar universiti.
#UiTM #uitmdihatiku #recordsmanagement #archives





