UiTM Shah Alam, 22–23 April 2026 – Bahagian Arkib Universiti, UiTM Shah Alam telah berjaya menganjurkan Kursus Pengurusan Rekod Jabatan selama dua hari dengan penyertaan yang amat memberangsangkan daripada warga universiti dan agensi luar.
Program ini bertujuan meningkatkan pengetahuan serta kefahaman peserta terhadap prinsip dan amalan terbaik dalam pengurusan rekod, meliputi kaedah pengurusan rekod bercetak dan digital selaras dengan keperluan semasa.
Seramai 51 orang peserta yang terdiri daripada pengurus rekod dalam kalangan warga UiTM serta wakil agensi luar telah menyertai kursus ini. Program berkenaan menerima respons yang sangat positif sebagai platform memperkukuh kompetensi peserta dalam mengendalikan rekod penting universiti serta mengamalkan pengurusan arkib yang sistematik dan berkesan.
Pada hari pertama kursus, peserta didedahkan kepada asas pengurusan rekod, kepentingan tadbir urus dokumen serta kaedah penyimpanan rekod secara teratur mengikut garis panduan yang ditetapkan.
Sementara itu, pengisian hari kedua pula merangkumi topik Pelupusan Rekod, Latihan Amali, Repositori Memori Institusi, Pengurusan Gedung serta lawatan ke gedung penyimpanan rekod bagi memberi pendedahan lebih dekat kepada peserta mengenai operasi sebenar pengurusan arkib.
Majlis penutupan kursus turut diserikan dengan kehadiran Ts. Haji Azizi bin Jantan, Ketua Pustakawan UiTM, yang meluangkan masa meraikan para peserta melalui ucapan penutup serta sesi bergambar.
Penganjuran kursus ini membuktikan komitmen berterusan Bahagian Arkib Universiti dalam memperkasakan budaya pengurusan rekod yang cekap, sistematik dan berintegriti demi menyokong kecemerlangan tadbir urus universiti.
#uitm
#uitmdihatiku
#arkib
#RecordsManagement









