MELAKA, 22 Jun 2026 - Sebagai pengisian penutup sempena Sambutan Hari Arkib Antarabangsa 2026 Peringkat UiTM Cawangan Melaka, Unit Arkib Cawangan Melaka, Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Cawangan Melaka telah menganjurkan Kursus Persediaan Audit Pengurusan Rekod yang melibatkan seramai 84 orang peserta terdiri daripada Pegawai Rekod Jabatan (PRJ) dan Pembantu Tadbir Rekod Jabatan (PTRJ) dari seluruh UiTM Cawangan Melaka.
Kursus ini telah disampaikan oleh Cik Ilya Nur Fateen binti Othman, Pustakawan PTAR UiTM Cawangan Melaka, bagi memberikan pendedahan awal dan memastikan PRJ serta PTRJ bersedia menghadapi Audit Pengurusan Rekod UiTM yang dijadualkan berlangsung pada tahun 2027.
Antara topik utama yang telah dibincangkan ialah:
📌 Pengenalan Audit Pengurusan Rekod
📌 Pelan Audit Pengurusan Rekod
📌 Sistem Audit Pengurusan Rekod (ARMS)
Bagi meningkatkan penglibatan peserta serta mengukuhkan pemahaman terhadap topik yang disampaikan, satu sesi kuiz interaktif menggunakan platform Kahoot! turut diadakan. Sesi ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dan berjaya mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih santai serta menyeronokkan.
Majlis diteruskan dengan ucapan penutup oleh Prof. Madya Dr. Nurazree bin Mahmud, Penolong Rektor UiTM Cawangan Melaka Kampus Bandaraya, yang seterusnya merasmikan penutupan Sambutan Hari Arkib Antarabangsa 2026 Peringkat UiTM Cawangan Melaka.
Sebagai penutup tirai sambutan, para peserta turut dipertontonkan montaj sorotan aktiviti Sambutan Hari Arkib Antarabangsa 2026 yang telah berlangsung dengan jayanya sepanjang 9 hingga 22 Jun 2026. Montaj tersebut memaparkan pelbagai program dan aktiviti yang telah dilaksanakan dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pengurusan rekod dan pemeliharaan arkib dalam kalangan warga universiti.
Unit Arkib Cawangan Melaka merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga UiTM Cawangan Melaka atas sokongan, penyertaan dan komitmen yang diberikan sepanjang penganjuran Sambutan Hari Arkib Antarabangsa 2026.
Terima kasih atas sokongan anda semua. Jumpa lagi dalam Sambutan Hari Arkib Antarabangsa 2027!
Untuk melihat lebih banyak gambar program ini, sila layari:
Gambar Kursus: PTAR UiTM Cawangan Melaka
Pautan Tiktok: Tiktok PTAR UiTM Cawangan Melaka