Kursus Pengesahan Lantikan Pegawai Pengelas dan Pendaftar Kecil Rahsia Perkukuh Pengurusan Dokumen Terperingkat

Bandar Enstek, 12 Mei 2026 – Kursus Pengesahan Lantikan Pegawai Pengelas dan Pendaftar Kecil Rahsia (IGA324) yang berlangsung pada 11 hingga 12 Mei 2026 di Institut Kepimpinan dan Pembangunan (ILD) UiTM Bandar Enstek telah menghimpunkan seramai 101 orang warga UiTM dari seluruh sistem UiTM dalam usaha memperkukuh kefahaman serta kompetensi berkaitan pengurusan rahsia rasmi dalam perkhidmatan awam.

Kursus ini bertujuan memberi pendedahan menyeluruh kepada peserta mengenai pengurusan rahsia rasmi, peranan Pegawai Pengelas dan Pendaftar Kecil Rahsia serta pematuhan terhadap prosedur keselamatan yang ditetapkan berdasarkan Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88).

Sepanjang kursus berlangsung, para peserta didedahkan dengan pelbagai aspek penting melibatkan isu dan cabaran pengurusan rahsia rasmi dalam perkhidmatan awam, pengurusan dokumen rahsia rasmi serta pengendalian dokumen terperingkat secara sistematik dan selamat.

Sesi pertama bertajuk “Isu dan Cabaran Pengurusan Rahsia Rasmi dalam Perkhidmatan Awam” dan sesi kedua “Tugas dan Tanggungjawab Pegawai Pengelas dan Pendaftar Kecil Rahsia” telah disampaikan oleh Encik Mohd Ridzuan bin Sith, Pegawai Keselamatan Kanan Kerajaan, ILKEM. Perkongsian beliau memberi penekanan terhadap tanggungjawab pegawai dalam memastikan keselamatan dokumen rasmi sentiasa terpelihara mengikut prosedur yang telah ditetapkan.

Seterusnya, sesi ketiga “Pengurusan Dokumen Rahsia Rasmi (Menerima, Memproses, Menyimpan, Menghantar dan Memusnah)” serta sesi keempat “Pengenalan kepada Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88)” telah dikendalikan oleh Encik Mohd Afif bin Roslan, Penolong Pegawai Keselamatan Kerajaan, ILKEM. Sesi ini memberi penjelasan terperinci berkaitan tatacara pengurusan dokumen rahsia rasmi dan pematuhan undang-undang yang berkaitan.

Hari kedua kursus diteruskan dengan sesi kelima bertajuk “Pengurusan Dokumen Rahsia Rasmi (Pengelasan dan Pengelasan Semula Rahsia Rasmi)” dan sesi keenam “Latih Amal Pengurusan Rahsia Rasmi” yang dikendalikan oleh Puan Nurul Haswani binti Saiman, Pegawai Keselamatan Kanan Kerajaan, ILKEM.

Kursus ini turut memberi penekanan kepada latihan amali bagi memastikan setiap pegawai yang dilantik mampu melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan penuh integriti, profesionalisme serta mematuhi tatacara keselamatan yang ditetapkan dalam pengurusan rahsia rasmi.

Secara keseluruhannya, perkongsian ilmu dan latihan yang diberikan sepanjang kursus ini telah memberi pendedahan yang amat bermanfaat kepada para peserta dalam memperkukuh kefahaman mengenai peranan Pegawai Pengelas dan Pendaftar Kecil Rahsia, di samping meningkatkan kesedaran terhadap cabaran pengurusan rahsia rasmi dalam era pentadbiran masa kini.

 

 

 

Hubungi

Bahagian Arkib Universiti (BARU)
Perpustakaan Tun Abdul Razak,
Blok F, Kompleks Kenanga,
Universiti Teknologi MARA,
40450 Shah Alam,
Selangor Darul Ehsan. Malaysia
Telefon: 03-55443880
Emel: azniza180@uitm.edu.my