KUALA LUMPUR, 10 Julai – Hari kedua program Jawatankuasa Kumpulan Fokus Khas (KFK) Pengurusan Arkib Universiti Awam diteruskan dengan lawatan ilmiah ke tiga lokasi ikonik di Universiti Malaya (UM), yang memberi pendedahan mengenai pemeliharaan warisan, seni, budaya serta inovasi dalam penyampaian sejarah institusi.
Lawatan dimulakan di Immersive 120 Gallery, sebuah galeri interaktif berteknologi tinggi yang membawa pengunjung menelusuri perjalanan 120 tahun kecemerlangan Universiti Malaya. Melalui gabungan teknologi digital, penceritaan imersif dan persembahan multimedia, sejarah universiti dipersembahkan secara lebih dinamik, interaktif dan menyentuh emosi, sekali gus memberikan pengalaman baharu dalam menghayati warisan institusi.
Delegasi kemudiannya dibawa ke Galeri Sultan Nazrin Shah, yang menampilkan pelbagai karya seni menggambarkan nilai estetika, identiti serta kreativiti yang menjadi nadi kepada perkembangan seni visual negara. Galeri ini bukan sahaja menjadi ruang pameran, malah berperanan sebagai platform apresiasi terhadap bakat, pemikiran dan ekspresi seni yang merentas generasi.
Lawatan diteruskan ke Muzium Seni Asia, yang menempatkan pelbagai koleksi artifak, tekstil, seramik dan warisan budaya Asia yang berusia ribuan tahun. Koleksi tersebut mencerminkan kepelbagaian tamadun Asia serta memperlihatkan peranan Universiti Malaya sebagai institusi yang komited dalam memelihara khazanah ilmu, seni dan warisan budaya untuk manfaat masyarakat.
Sepanjang lawatan, para peserta memperoleh pelbagai idea dan inspirasi mengenai pendekatan inovatif dalam pengurusan muzium, galeri dan arkib, khususnya dalam usaha menghubungkan sejarah dengan teknologi serta meningkatkan pengalaman pengunjung. Setiap lokasi yang dilawati membuktikan bahawa warisan bukan sekadar koleksi untuk dipamerkan, tetapi merupakan sumber ilmu dan inspirasi yang mampu membentuk identiti serta memacu kecemerlangan generasi masa hadapan.
Program lawatan ini turut memperkukuhkan jaringan kerjasama dalam kalangan ahli Jawatankuasa Kumpulan Fokus Khas (KFK) Pengurusan Arkib Universiti Awam, di samping membuka ruang perkongsian pengalaman dan amalan terbaik dalam pemeliharaan warisan institusi.
Jawatankuasa KFK Pengurusan Arkib Universiti Awam merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Bahagian Arkib Universiti, The University of Malaya Library atas sambutan mesra, perkongsian ilmu serta layanan yang cemerlang sepanjang program berlangsung. Diharapkan jalinan kerjasama ini akan terus diperkukuh dalam usaha memartabatkan pengurusan arkib, galeri dan warisan universiti awam di Malaysia.
#uitm
#UniversitiAwam
#arkib
#immersiveexperience
#universitimalaya





