Lawatan Pelajar Diploma Pengurusan Maklumat UiTM Rembau

Shah Alam, 10 Februari 2026 – Seramai enam orang pelajar Diploma Pengurusan Maklumat dari Kampus Rembau, Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah mengadakan lawatan akademik ke Bahagian Arkib Universiti sebagai sebahagian daripada pendedahan praktikal dalam bidang pengurusan rekod dan arkib.

Lawatan ini bertujuan memberikan kefahaman secara langsung kepada para pelajar mengenai fungsi dan peranan arkib institusi dalam memastikan rekod serta bahan bernilai sejarah diurus dan dipelihara secara sistematik. Sepanjang sesi lawatan, pelajar diberi taklimat berkaitan proses pengurusan rekod, penyimpanan bahan arkib serta kepentingan pematuhan kepada prosedur dan piawaian pengurusan maklumat.

Selain itu, pelajar turut berpeluang melihat dengan lebih dekat kemudahan arkib serta koleksi terpilih yang menjadi memori institusi universiti. Pendedahan ini memberi gambaran sebenar tentang operasi arkib dan cabaran yang dihadapi dalam memelihara khazanah maklumat universiti.

Lawatan ini bukan sahaja memperkukuh pengetahuan teori yang dipelajari di dalam bilik kuliah, malah membantu meningkatkan kefahaman dan minat pelajar terhadap bidang arkib dan pengurusan maklumat sebagai satu kerjaya profesional pada masa hadapan.

 

Hubungi

Bahagian Arkib Universiti (BARU)
Perpustakaan Tun Abdul Razak,
Blok F, Kompleks Kenanga,
Universiti Teknologi MARA,
40450 Shah Alam,
Selangor Darul Ehsan. Malaysia
Telefon: 03-55443880
Emel: azniza180@uitm.edu.my