SERI ISKANDAR, PERAK, 24 Jun 2026 – Unit Arkib Cawangan Melaka, Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Cawangan Melaka telah mengadakan lawatan penanda aras ke PTAR UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar bagi melihat amalan terbaik serta perkhidmatan yang ditawarkan oleh perpustakaan, khususnya berkaitan ruang pameran sejarah dan pengurusan arkib.
Kehadiran delegasi dari UiTM Cawangan Melaka telah disambut mesra oleh Puan Siti Basriyah binti Shaik Baharudin, Ketua Perpustakaan PTAR UiTM Cawangan Perak.
Lawatan dimulakan dengan sesi tinjauan ke ruang pameran sejarah Negeri Perak yang memaparkan pelbagai maklumat, dokumentasi dan bahan berkaitan sejarah serta warisan negeri tersebut. Delegasi turut berpeluang melihat kaedah penyampaian maklumat sejarah kepada pengguna melalui konsep pameran yang menarik dan interaktif.
Seterusnya, lawatan diteruskan ke bilik penjilidan, Unit Arkib Cawangan Perak serta sekitar perpustakaan bagi melihat kemudahan, perkhidmatan dan amalan pengurusan yang dilaksanakan dalam menyokong keperluan pembelajaran, penyelidikan dan pemeliharaan rekod universiti.
Lawatan penanda aras ini memberi peluang kepada Unit Arkib Cawangan Melaka untuk bertukar pandangan, berkongsi pengalaman serta meneliti amalan terbaik yang boleh dijadikan inspirasi dalam memperkasakan perkhidmatan arkib dan pameran sejarah di UiTM Cawangan Melaka.
Terima kasih kepada PTAR UiTM Cawangan Perak atas sambutan dan perkongsian ilmu yang amat bermakna. Semoga hubungan kerjasama antara kedua-dua institusi terus diperkukuhkan demi kecemerlangan perkhidmatan perpustakaan dan arkib universiti.
Untuk melihat lebih banyak gambar program ini, sila layari:
Gambar Lawatan: PTAR UiTM Cawangan Melaka
Pautan Tiktok: Tiktok PTAR UiTM Cawangan Melaka