Bahagian Arkib Universiti (BARU), Jabatan Perpustakaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) berbesar hati menerima kunjungan delegasi daripada Bahagian Pengurusan Organisasi (BPO), Jabatan Pendaftar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi sesi Lawatan Penanda Aras Pengurusan Rekod dan Fail pada 11 Jun 2026.
Lawatan ini diadakan sebagai platform perkongsian ilmu dan pengalaman dalam bidang pengurusan rekod serta pentadbiran organisasi. Melalui sesi tersebut, delegasi UTM telah diberikan pendedahan mengenai amalan terbaik pengurusan rekod dan fail yang dilaksanakan di UiTM, merangkumi aspek tadbir urus rekod, klasifikasi fail, kaedah penyimpanan rekod, pelaksanaan sistem pengurusan rekod serta pematuhan kepada dasar dan peraturan yang berkaitan.
Sepanjang lawatan, para peserta turut berpeluang meninjau proses kerja dan inisiatif yang dilaksanakan oleh Bahagian Arkib Universiti dalam memastikan pengurusan rekod universiti dilaksanakan secara sistematik, teratur dan selaras dengan keperluan perundangan serta standard pengurusan rekod semasa. Sesi perbincangan dua hala yang berlangsung turut membuka ruang kepada pertukaran pandangan, idea dan pengalaman yang dapat menyumbang kepada penambahbaikan amalan pengurusan rekod di kedua-dua institusi.
Lawatan penanda aras ini mencerminkan komitmen UiTM dan UTM dalam memperkukuh budaya tadbir urus yang baik melalui pengurusan rekod yang cekap dan berkesan. Selain itu, program seumpama ini turut memainkan peranan penting dalam memperluaskan jaringan profesional serta memperkukuh hubungan kerjasama strategik antara institusi pengajian tinggi awam di Malaysia.
#uitm
#uitmdihatiku
#IAW2026
#internationalarchivesweek2026
#archives





