ALOR GAJAH, 19 Jun 2026 - Unit Arkib Cawangan Melaka, Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Cawangan Melaka telah menerima kunjungan daripada empat orang pelajar Sarjana Muda Sains Maklumat (Kepujian) Pengurusan Perpustakaan, Fakulti Sains Maklumat, UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Rembau bagi menjalankan lawatan penyelidikan berkaitan pengurusan rekod universiti.
Lawatan dimulakan dengan sesi taklimat pengenalan Unit Arkib Cawangan Melaka yang telah disampaikan oleh Cik Ilya Nur Fateen binti Othman, Pustakawan PTAR UiTM Cawangan Melaka. Taklimat tersebut memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai fungsi, peranan serta tanggungjawab Unit Arkib dalam mengurus dan memelihara rekod universiti.
Sesi diteruskan dengan latihan amali pengurusan rekod yang memberi peluang kepada para pelajar memahami proses pengurusan rekod berdasarkan kitaran hayat rekod, bermula daripada pewujudan rekod, penggunaan dan penyenggaraan sehingga kepada pelupusan atau penyimpanan kekal.
Pada akhir sesi, para pelajar telah dibawa melawat ke bilik fail dan gedung Unit Arkib Cawangan Melaka bagi melihat sendiri kaedah penyimpanan rekod aktif, rekod tidak aktif serta rekod simpanan kekal yang mempunyai nilai sejarah dan kepentingan kepada universiti.
Diharapkan lawatan penyelidikan ini dapat memberikan pengalaman pembelajaran yang bermakna serta meningkatkan kefahaman para pelajar mengenai amalan pengurusan rekod yang sistematik dan berkesan dalam sesebuah organisasi.
Untuk melihat lebih banyak gambar program ini, sila layari:
Gambar Kursus: PTAR UiTM Cawangan Melaka
Pautan Tiktok: Tiktok PTAR UiTM Cawangan Melaka