ALOR GAJAH, 9 September 2026 - Unit Arkib Cawangan Melaka, Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Cawangan Melaka telah mengadakan Sesi Libat Urus Pengurusan Rekod Universiti bersama Pejabat Bendahari, UiTM Cawangan Melaka Kampus Alor Gajah.
Sesi libat urus ini diadakan susulan jemputan daripada pihak Pejabat Bendahari bagi mendapatkan penerangan berkaitan pelantikan Pengurus Rekod serta pengurusan Dokumen Rahsia Rasmi, khususnya di Unit Perolehan Pejabat Bendahari.
Sesi dimulakan dengan kata aluan daripada Puan Norhaida binti Awang, Timbalan Bendahari, UiTM Cawangan Melaka Kampus Alor Gajah.
Seterusnya, sesi taklimat telah disampaikan oleh Cik Ilya Nur Fateen binti Othman, Pustakawan PTAR UiTM Cawangan Melaka, yang memberikan penerangan berkaitan tatacara pelantikan pegawai yang terlibat dalam pengurusan rekod serta aspek pengurusan dokumen rahsia rasmi mengikut prosedur dan peraturan yang telah ditetapkan.
Turut berlangsung ialah sesi perbincangan dua hala antara pihak Pejabat Bendahari dan Unit Arkib Cawangan Melaka bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan pengurusan rekod di Unit Perolehan. Perbincangan ini menjadi platform penting untuk mengenal pasti isu, mendapatkan penjelasan serta memastikan setiap proses pengurusan rekod dapat dilaksanakan dengan lebih teratur, sistematik dan mematuhi prosedur yang ditetapkan.
Diharapkan sesi libat urus ini dapat memperkukuhkan kerjasama antara Pejabat Bendahari dan Unit Arkib Cawangan Melaka, sekali gus memastikan pengurusan rekod universiti dilaksanakan dengan lebih cekap, teratur dan berintegriti.
Untuk melihat lebih banyak gambar program ini, sila layari:
Gambar Libat Urus : PTAR UiTM Cawangan Melaka
Pautan Tiktok: Tiktok PTAR UiTM Cawangan Melaka