KUALA LUMPUR, 9 Julai – Mesyuarat Jawatankuasa Kumpulan Fokus Khas (KFK) Pengurusan Arkib Universiti Awam Bil. 1/2026 telah berlangsung di Universiti Malaya (UM), menghimpunkan Pegawai Pengurusan dan Profesional daripada perpustakaan universiti awam seluruh Malaysia bagi membincangkan hala tuju serta pemerkasaan pengurusan arkib di peringkat nasional.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Ketua Pustakawan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Ts. Haji Azizi bin Haji Jantan, selaku Pengerusi Jawatankuasa Kumpulan Fokus Khas (KFK) Pengurusan Arkib Universiti Awam.
Platform ini menjadi medan strategik untuk memperkukuhkan kerjasama antara institusi, menyelaras hala tuju pengurusan arkib universiti awam serta membincangkan pelbagai inisiatif baharu ke arah memperkasakan tadbir urus rekod, pemeliharaan warisan dokumentari dan pengurusan memori institusi secara lebih sistematik dan mampan.
Turut berlangsung ialah Sesi Perkongsian Ilmu yang disampaikan oleh Bahagian Arkib Universiti, Universiti Malaya, selaku tuan rumah, yang berkongsi amalan terbaik dalam pengurusan arkib universiti. Selain itu, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) turut mengadakan perkongsian menerusi Zheng He Cultural Corner, yang mengetengahkan pendekatan inovatif dalam pemeliharaan koleksi warisan dan pengurusan bahan arkib.
Perkongsian tersebut membuka ruang kepada pertukaran idea, pengalaman dan kepakaran dalam kalangan ahli jawatankuasa, sekali gus memperluaskan jaringan profesional serta memperkukuhkan budaya kecemerlangan dalam pengurusan rekod dan arkib universiti awam.
Sempena lawatan itu, Ts. Haji Azizi bin Haji Jantan turut mengadakan kunjungan hormat kepada Madam Raja Sothi, Pengarah Eksekutif Perpustakaan Universiti Malaya. Delegasi juga berpeluang mengadakan lawatan ke Koleksi Jawi, Muzium Seni Asia dan Galeri Sultan Nazrin Shah bagi meninjau pengurusan koleksi warisan dan pameran yang dipelihara oleh Universiti Malaya.
Melalui sinergi yang terjalin, universiti-universiti awam terus berganding bahu membina ekosistem pengurusan arkib yang lebih mampan, berdaya saing dan bersedia mendepani cabaran era pendigitalan. Kerjasama ini diyakini mampu memastikan warisan ilmu, sejarah serta identiti institusi pengajian tinggi awam terus dipelihara sebagai khazanah negara untuk manfaat generasi masa kini dan akan datang.
Jawatankuasa Kumpulan Fokus Khas (KFK) Pengurusan Arkib Universiti Awam turut merakamkan penghargaan kepada Bahagian Arkib Universiti, Perpustakaan Universiti Malaya atas penganjuran mesyuarat, perkongsian ilmu serta layanan dan hospitaliti yang cemerlang kepada semua delegasi yang hadir.
#uitm
#UniversitiAwam
#arkib
#universitimalaya
#recordsmanagement








