Bahagian Arkib Universiti (BARU), Jabatan Perpustakaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus komited dalam memperkasa pembangunan modal insan menerusi pendedahan amali kepada pelajar latihan industri. Antara pengalaman yang diberikan ialah mempelajari proses hot stamping yang digunakan dalam penyediaan dan pemeliharaan bahan arkib.
Sepanjang sesi latihan, para pelajar dibimbing secara langsung oleh staf berpengalaman Bahagian Arkib Universiti yang berkongsi pengetahuan mengenai teknik penggunaan mesin hot stamping, pemilihan bahan, ketelitian penjajaran cetakan serta langkah-langkah menghasilkan cetakan yang kemas, tepat dan berkualiti.
Latihan amali ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada aspek teknikal, malah membentuk disiplin kerja, ketelitian serta pemahaman terhadap kepentingan pemeliharaan bahan arkib sebagai khazanah dokumentari universiti. Setiap proses yang dilalui memberi pengalaman berharga kepada pelajar dalam memahami standard kerja yang diamalkan di Bahagian Arkib Universiti.
Sebagai tanda penghargaan dan kenangan sepanjang mengikuti latihan, setiap pelajar turut berpeluang menghasilkan dan membawa pulang sebuah naskhah yang dicetak menggunakan teknik hot stamping dengan nama mereka sendiri. Pengalaman ini bukan sahaja menjadi kenangan bermakna, malah meningkatkan keyakinan serta kemahiran praktikal yang boleh diaplikasikan dalam bidang pengurusan arkib dan pemuliharaan dokumen pada masa hadapan.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen Bahagian Arkib Universiti dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif serta melahirkan graduan yang mempunyai pengetahuan, kemahiran dan pengalaman praktikal selaras dengan keperluan profesion pengurusan rekod dan arkib.
#UiTM
#uitmdihatiku
#arkib
#binding
#binder


