6 Mei 2026 | Bahagian Arkib Universiti, Perpustakaan UiTM
Bahagian Arkib Universiti, Perpustakaan UiTM telah mengadakan satu sesi pertemuan bermakna bersama Alumni RIDA, YBhg. Dato’ Sri Mohamed Abid dan Tuan Haji Ami Salleh sebagai usaha memperkukuh pemeliharaan rekod sejarah serta khazanah warisan Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Sesi tersebut dipengerusikan oleh Encik Ahmad Amiri Mohamad, Pengarah Bahagian Arkib Universiti dan turut dihadiri oleh Puan Aznur Umiza, Pengarah Bahagian Pengurusan Perpustakaan. Kehadiran alumni juga diiringi oleh Puan Aida dan Encik Luthfi.
Pertemuan ini menjadi platform penting dalam usaha mengumpul, mendokumentasi dan memelihara rekod-rekod bersejarah, bahan arkib, memorabilia serta naratif awal perkembangan institusi bermula daripada era RIDA sehingga evolusi UiTM pada hari ini.
Melalui sesi perkongsian tersebut, para alumni berkongsi pengalaman, kenangan dan kisah perjuangan sepanjang berada di institusi yang menjadi asas kepada penubuhan UiTM. Perkongsian ini bukan sahaja memperkayakan koleksi khazanah universiti, malah menjadi sumber rujukan bernilai tinggi kepada generasi masa hadapan dalam memahami sejarah, identiti dan perjalanan institusi pendidikan unggul negara ini.
Inisiatif ini membuktikan komitmen Perpustakaan UiTM melalui Bahagian Arkib Universiti dalam memastikan warisan intelektual dan sejarah institusi terus dipelihara, didigitalisasikan serta diwariskan kepada masyarakat dan warga universiti.
“Khazanah sejarah bukan sekadar rekod masa lalu, tetapi asas pembinaan identiti dan legasi masa hadapan.”
#perpustakaanuitm #bahagianarkibuniversiti #uitm #warisanuitm #khazanah #memoriuitm #arkibuniversiti #PembudayaanIlmuMembentukAdiwangsa



