SHAH ALAM, 5 Julai – Pengarah Bahagian Arkib Universiti (BARU), Jabatan Perpustakaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Encik Ahmad Amiri Mohamad, menghadiri Majlis Tahlil Alumni Tahun 1967 (Pre Arts) yang berlangsung di Seksyen 11, Shah Alam sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan sumbangan generasi awal alumni dalam membangunkan institusi.
Kehadiran beliau bukan sahaja mencerminkan komitmen UiTM dalam menghargai legasi alumni, malah menjadi platform bermakna untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara universiti dengan bekas pelajar yang pernah menimba ilmu ketika era Maktab MARA di Jalan Othman, Petaling Jaya.
Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh mesra dan penuh penghormatan itu turut menjadi medan perkongsian kenangan serta pengalaman para alumni yang merupakan antara kumpulan terawal menyaksikan perkembangan institusi sehingga berkembang menjadi Universiti Teknologi MARA pada hari ini.
Menurut Encik Ahmad Amiri Mohamad, setiap kisah, pengalaman dan memori yang dikongsi oleh alumni merupakan sebahagian daripada warisan institusi yang amat bernilai dan perlu didokumentasikan bagi memastikan sejarah perkembangan UiTM terus dipelihara sebagai rujukan generasi akan datang.
Beliau turut menegaskan bahawa Bahagian Arkib Universiti sentiasa komited dalam usaha mengumpul, memelihara dan mendokumentasikan rekod serta bahan-bahan sejarah universiti, termasuk koleksi yang dimiliki oleh para alumni, bagi memperkayakan khazanah warisan dokumentari UiTM.
#uitm
#uitmdihatiku
#UiTM7Dekad
#maktabmara
#JalanOthman
#ITM


