Bahagian Arkib Universiti telah membawakan sedutan aktiviti sempena Jelajah Ilmu yang berlangsung di Fakulti Sains Komputer & Matematik pada 15 Januari 2026. Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran serta pemahaman warga universiti terhadap kepentingan pemeliharaan arkib dan pengurusan rekod yang sistematik. Antara pengisian utama yang diketengahkan ialah Pameran Gambar Lama, yang memaparkan koleksi visual bersejarah sebagai bukti dokumentasi perjalanan serta perkembangan fakulti dari semasa ke semasa.
Selain itu, buat julung kalinya Bahagian Arkib Universiti turut memperkenalkan Side Stitching, iaitu demonstrasi teknik penjilidan arkib yang digunakan dalam proses pemeliharaan bahan bercetak. Teknik ini berperanan memastikan bahan arkib kekal terpelihara, berdaya tahan dan sesuai untuk penyimpanan jangka panjang. Program ini turut diserikan dengan Sesi Konsultasi Document Management System (DDMS) 2.0 yang memberi pendedahan serta bimbingan kepada warga universiti berkaitan pengurusan rekod dan dokumen secara sistematik.






