SHAH ALAM, 9 Julai – Program Kepimpinan Perpustakaan Siri 7 dan Majlis Perasmian Penutupan Sambutan Hari Arkib Antarabangsa 2026 Peringkat Universiti Teknologi MARA (UiTM) berlangsung dengan penuh meriah di Bahagian Arkib Universiti, Jabatan Perpustakaan, UiTM Shah Alam hari ini, menghimpunkan warga universiti dalam satu wadah ilmu, inspirasi dan penghargaan terhadap khazanah warisan institusi.
Majlis telah disempurnakan oleh Naib Canselor UiTM, YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin, manakala ucapan alu-aluan disampaikan oleh Ketua Pustakawan UiTM, Ts. Haji Azizi bin Haji Jantan.
Dalam ucapannya, Ts. Haji Azizi berkata, Program Kepimpinan Perpustakaan UiTM telah berjaya dilaksanakan sebanyak enam siri sejak tahun 2025 sebagai platform pembangunan profesional yang memberi penekanan kepada pemerkasaan kepimpinan, pembangunan kerjaya serta pemikiran strategik dalam kalangan pustakawan UiTM di seluruh negara melalui penyertaan secara fizikal dan dalam talian.
Beliau berkata, inisiatif tersebut diharap dapat melahirkan barisan pustakawan yang lebih berdaya saing, inovatif dan bersedia menerajui transformasi perkhidmatan perpustakaan ke arah kecemerlangan global.
Menyentuh mengenai Sambutan Hari Arkib Antarabangsa, beliau menjelaskan bahawa sambutan yang diraikan pada setiap 9 Jun merupakan pengiktirafan terhadap peranan arkib sebagai aset strategik dalam memelihara memori, identiti dan bukti yang menjadi asas kepada tadbir urus serta kesinambungan sesebuah organisasi dan negara.
Menurut beliau lagi, sambutan Hari Arkib Antarabangsa 2026 Peringkat UiTM telah mendapat sokongan daripada 14 lokasi arkib di seluruh cawangan UiTM dengan pelaksanaan 86 aktiviti sepanjang tempoh sambutan, sekali gus membuktikan komitmen universiti dalam memperkukuh budaya pengurusan rekod, arkib dan pemeliharaan warisan institusi.
Kemuncak program menyaksikan penyampaian Ceramah Kepimpinan Perpustakaan Siri 7 oleh Naib Canselor UiTM bertajuk “High-Impact Leadership: Spearheading University Excellence Through Faith, Integrity, and Innovation – A Blueprint for the Future of Academic Leadership”. Ceramah tersebut mengupas kepentingan kepimpinan berimpak tinggi dalam memperkukuh kecemerlangan universiti melalui penerapan nilai integriti, kepimpinan berteraskan kepercayaan, budaya inovasi serta pembangunan ekosistem akademik yang mampan dan berdaya saing di peringkat global.
Pada majlis yang sama, Naib Canselor turut menyampaikan anugerah kepada para pemenang sempena Sambutan Hari Arkib Antarabangsa 2026 Peringkat UiTM sebagai penghargaan terhadap komitmen pusat tanggungjawab dalam memperkukuh pengurusan rekod dan arkib universiti.
Bagi Anugerah Poster Terbaik Hari Arkib, Bahagian Integriti dinobatkan sebagai johan, diikuti Fakulti Sains Maklumat sebagai naib johan dan Unit Pentadbiran Hal Ehwal Akademik, UiTM Cawangan Perlis di tempat ketiga.
Untuk Anugerah Tawanan Rekod Tertinggi dalam DDMS 2.0, Jabatan Penyelidikan dan Inovasi muncul johan, diikuti Jabatan Hal Ehwal Pelajar sebagai naib johan dan Jabatan Pembangunan di tempat ketiga.
Sementara itu, Bahagian Pentadbiran dan Sumber Manusia, Jabatan Pembangunan merangkul Anugerah Audit Pengurusan Rekod, diikuti Bahagian Pentadbiran dan Sekretariat LPU serta Unit Pengambilan dan Penempatan Staf, Jabatan Pendaftar masing-masing sebagai naib johan dan tempat ketiga.
Bagi Anugerah PTJ Tertinggi Menyerahkan Rekod Penting UiTM, Unit Pengurusan Perkhidmatan, Jabatan Pendaftar dinobatkan sebagai johan, manakala Jabatan Pembangunan dan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.
Majlis tersebut menjadi simbol komitmen berterusan UiTM dalam memperkukuh budaya pengurusan rekod yang sistematik, memperkasa pendigitalan, serta memelihara dan memulihara khazanah memori institusi sebagai warisan berharga untuk generasi akan datang. Pengiktirafan yang diberikan diharap menjadi pemangkin kepada semua pusat tanggungjawab untuk terus meningkatkan kecemerlangan dalam pengurusan rekod, arkib dan tadbir urus universiti.
#uitm
#uitmdihatiku
#IAW2026
#ArchivesForJustice
#HighImpactLeadership















