Bahagian Arkib Universiti (BARU), Jabatan Perpustakaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah mengadakan Sesi Libat Urus Rekod, Arkib dan Galeri bersama Fakulti Perakaunan UiTM pada 3 Julai 2026 bagi mengenal pasti, mendokumentasi dan mendeskripsi rekod-rekod penting yang berkaitan dengan sejarah penubuhan serta perkembangan fakulti.
Sesi libat urus ini telah dihadiri oleh Profesor Dr. Norli Ali, Dekan Fakulti Perakaunan, bersama barisan pengurusan fakulti. Lawatan ini memberi peluang kepada pihak fakulti untuk meneliti sendiri koleksi rekod dan bahan arkib yang mendokumentasikan perjalanan awal Fakulti Perakaunan, yang merupakan antara bidang pengajian terawal ketika era RIDA, Maktab MARA dan seterusnya Institut Teknologi MARA (ITM).
Antara koleksi yang dipamerkan ialah naskhah laporan, penerbitan rasmi, dokumen serta koleksi fotografi yang berusia antara 60 hingga 70 tahun, yang merekodkan perkembangan awal pendidikan perakaunan di institusi ini. Bahan-bahan tersebut masih berada dalam keadaan baik hasil usaha pemeliharaan dan pemuliharaan yang dilaksanakan oleh Bahagian Arkib Universiti sebagai khazanah dokumentari universiti.
Sesi ini turut menjadi platform perbincangan dan perkongsian maklumat antara Bahagian Arkib Universiti dan Fakulti Perakaunan dalam usaha memperkayakan dokumentasi sejarah fakulti. Proses pengenalpastian dan pendeskripsian rekod yang dijalankan akan membantu memastikan maklumat sejarah institusi direkodkan secara sistematik, tepat dan boleh dijadikan sumber rujukan yang sahih pada masa hadapan.
#UiTM
#uitmdihatiku
#UiTM7Dekad
#accountancy
#Accountant
#AccountingExperts



