ALOR GAJAH, 30 Julai 2026 - Unit Arkib Cawangan Melaka, Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Cawangan Melaka telah melaksanakan proses susun atur fail peribadi di dalam gedung arkib sebagai langkah terakhir dalam pengurusan bahan arkib sebelum disimpan secara kekal.
Proses ini merupakan sebahagian daripada kitaran pengurusan arkib yang dilaksanakan secara sistematik. Sebelum sesuatu bahan ditempatkan di dalam gedung arkib, bahan tersebut akan melalui beberapa proses penting iaitu pendaftaran ke dalam Sistem Archive Management System (AMS), proses pengenyahan bendasing, dan pendigitalan bahan arkib bagi memastikan rekod sentiasa terpelihara serta mudah diakses pada masa hadapan.
Bagi memudahkan pencarian bahan arkib, warga UiTM dan para penyelidik boleh membuat semakan melalui Online Finding Archive (OFA) untuk mengenal pasti maklumat dan lokasi bahan yang diperlukan sebelum membuat permohonan rujukan.
Aktiviti susun atur fail peribadi ini telah dijalankan oleh staf Unit Arkib Cawangan Melaka dengan kerjasama dua (2) orang pelajar latihan industri. Penglibatan pelajar dalam aktiviti ini memberi pendedahan secara langsung mengenai tatacara pengurusan gedung arkib, penyimpanan rekod simpanan kekal serta amalan terbaik dalam pemeliharaan khazanah dokumentasi universiti.
Usaha ini mencerminkan komitmen Unit Arkib Cawangan Melaka dalam memastikan setiap rekod bernilai universiti diurus secara sistematik, selamat dan mudah diakses bagi menyokong keperluan pentadbiran, penyelidikan serta pemeliharaan warisan institusi.
Untuk melihat lebih banyak gambar program ini, sila layari:
Gambar Aktiviti : PTAR UiTM Cawangan Melaka
Pautan Tiktok: Tiktok PTAR UiTM Cawangan Melaka