Arkib Universiti Malaysia Kelantan, Pejabat Perpustakaan dan Pengurusan Ilmu dengan kerjasama strategik bersama Bahagian Pengurusan dan Kecemerlangan Bakat, Pejabat Pendaftar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) telah berjaya menganjurkan Kursus Asas Pengurusan Rekod kepada Pembantu Tadbir Rekod Jabatan (PTRJ). Kursus yang berlangsung selama dua hari bermula 15 hingga 16 Jun 2026 ini telah diadakan di Bilik Seminar 1, Pejabat Pendaftar, UMK Bachok. Kursus ini disampaikan oleh Puan Sukana binti Suadi, Pengarah Arkib Negara Malaysia Negeri Kelantan.
Pelaksanaan kursus ini merupakan satu inisiatif ter ancang bagi meningkatkan pemahaman, kemahiran, serta kecekapan para peserta yang terlibat secara langsung dalam rantaian pengurusan rekod di jabatan masing-masing. Langkah ini penting dalam memastikan tadbir urus rekod di setiap peringkat pusat tanggungjawab (PTj) dilaksanakan secara sistematik dan mematuhi standard amalan terbaik yang telah digariskan.
Secara khususnya, kursus ini memfokuskan kepada pendedahan menyeluruh mengenai prinsip asas pengendalian rekod rasmi, tatacara pemeliharaan dokumen, serta kaedah pelupusan yang betul. Melalui sesi pengisian ini, para peserta dibimbing untuk memahami dengan lebih mendalam aspek pematuhan kepada dasar, peraturan, dan piawaian pengurusan rekod semasa agar selaras dengan ketetapan yang telah ditetapkan oleh Arkib Negara Malaysia.
Selain menjadi platform perkongsian ilmu, kursus ini turut membuka ruang perbincangan interaktif dan pertukaran idea dalam mendepani cabaran pengurusan rekod jabatan terutamanya dalam era transformasi digital. Adalah diharapkan agar impak daripada kursus ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua PTRJ bagi mempertingkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan, memperkasa integriti data organisasi, serta menyokong kecekapan pentadbiran Universiti Malaysia Kelantan secara menyeluruh.