Delegasi Arkib Universiti Malaysia Kelantan (UMK) telah mengadakan lawatan penanda aras ke Pejabat Pendaftar, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Lawatan strategik ini bukan sekadar kunjungan rasmi, tetapi bertujuan untuk meneroka dan meneliti secara mendalam amalan terbaik (best practices), strategi pelaksanaan, serta sistem sokongan teknikal di sebalik Digital Document Management System (DDMS) yang telah diaplikasikan secara meluas dan berkesan di USIM.
Rombongan Arkib UMK telah disambut mesra oleh En. Nasrul Hakim bin Ahmad, Ketua Jabatan, Jabatan Pendaftar USIM serta staf. Sesi lawatan ini padat dengan pembentangan terperinci mengenai evolusi DDMS di USIM, daripada fasa perancangan hingga pelaksanaan harian, diikuti dengan sesi soal jawab.
Bagi Arkib UMK, perkongsian ilmu yang diperoleh amat bermakna dan akan dijadikan penanda aras utama dalam merangka, menambah baik, serta menyeragamkan struktur pengurusan rekod digital di seluruh universiti. Ini merupakan salah satu langkah proaktif Arkib UMK untuk memastikan tadbir urus dokumen universiti selaras dengan aspirasi transformasi digital di peringkat Universiti Awam (UA) keseluruhannya.