Shah Alam, 4 Mac 2026 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus memperkukuh pengurusan rekod dan arkib melalui penganjuran program Siri 2 Pemantapan Pengurusan Rekod, Arkib & Galeri UiTM yang berlangsung pada hari Rabu, jam 10.00 pagi.
Program ini memberi fokus kepada tajuk Pengurusan Galeri Tun Abdul Razak (GTAR), yang bertujuan meningkatkan kefahaman serta kecekapan warga UiTM dalam aspek pengurusan galeri sebagai sebahagian daripada pemeliharaan khazanah institusi.
Sesi perkongsian telah disampaikan oleh Puan Roszainatul Haizan Binti Rusili, Ketua Galeri yang juga merupakan Penolong Pendaftar Kanan. Beliau berkongsi pengalaman serta amalan terbaik dalam pengurusan galeri termasuk aspek penyimpanan, penyelenggaraan bahan pameran, serta kepentingan dokumentasi yang sistematik. Sesi ini turut dibantu oleh Noorbaizura Binti Mazlan, Pembantu Pustakawan Kanan, dalam memastikan kelancaran penyampaian serta pengendalian program.
Program ini turut memberi penekanan kepada peranan galeri sebagai medium penyebaran ilmu dan sejarah institusi, di samping menyokong usaha pemerkasaan pengurusan rekod dan arkib yang lebih teratur dan efisien dalam kalangan warga UiTM.
Penganjuran siri ini diharap dapat meningkatkan kesedaran serta kompetensi peserta dalam menguruskan bahan arkib dan galeri secara profesional, selaras dengan aspirasi universiti dalam memartabatkan pengurusan maklumat dan warisan organisasi.


