KOTA KINABALU: Sambutan Hari Arkib Antarabangsa Peringkat Universiti Malaysia Sabah (UMS) 2026 yang bertemakan “Archives for Justice: Rights, Memory & Futures” telah berlangsung dengan jayanya di Perpustakaan UMS pada 9-12 Jun 2026. Program yang diketuai oleh Pengarah Arkib Universiti, Puan Anna Michael ini menekankan kepentingan arkib dalam memelihara hak, memori, dan integriti institusi.
Majlis perasmian pada 9 Jun telah disempurnakan oleh Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor. Beliau turut melancarkan 'UMS dalam Sejarah' serta buku digital bertajuk “Paksi Ilmu: Menelusuri Legasi Perpustakaan UMS” yang diterbitkan sempena 30 tahun Perpustakaan.
Antara pengisian utama program termasuklah sesi Rikau Arkib (Bicara Tokoh) yang membincangkan tajuk “Navigasi Keadilan Tadbir Urus: Mengurus Rekod, Merakam Sejarah Lisan demi Memori Kolektif UMS”. Sesi tersebut menampilkan Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor sebagai pembicara dan Profesor Madya Dr. Jurry Foo sebagai pemudah cara.
Selain itu, program turut dimeriahkan dengan Pameran UMS dalam Sejarah anjuran Arkib Universiti, serta pelbagai pameran, jualan buku, dan jualan kraftangan daripada jabatan dalaman UMS serta agensi luar.
Suasana majlis juga diserikan dengan persembahan koir 'Semarak Ilmu' oleh kakitangan Perpustakaan UMS. Lagu yang dipersembahkan merupakan hasil nukilan mantan Ketua Pustakawan, Puan Dg. Rukiah Ag. Amit, sekali gus membawa para hadirin mengimbau memori dan legasi sumbangan beliau terhadap pembangunan perpustakaan.
Bagi memupuk budaya hidup sihat dan seimbang, aktiviti “Jom Sihat: Jom Tai Chi” turut diadakan pada 10 Jun bagi mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga kampus.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen jitu UMS dalam memperkukuh amalan pengurusan rekod yang sistematik dan berkesan. Seiring dengan matlamat tersebut, Taklimat Pengurusan Rekod: Tatacara Pengurusan, Pendigitalan dan Pemindahan Rekod Bernilai Arkib di UMS turut dilaksanakan pada 11 Jun bagi meningkatkan kesedaran warga universiti tentang kepentingan memelihara rekod serta warisan institusi demi generasi masa hadapan.