Pada sebelah petang 24 November 2025, program diteruskan dengan sesi perkongsian amalan terbaik dalam pengurusan rekod dan arkib. Sesi pertama disampaikan oleh Cik Norhazura binti Hamzah, Pustakawan Kanan dari Universiti Putra Malaysia (UPM), yang membentangkan topik berkaitan pembangunan repositori arkib Universiti Awam. Perkongsian ini memberi gambaran menyeluruh mengenai pendekatan strategik serta pengalaman pelaksanaan repositori di institusi masing-masing.
Pada hari kedua, 25 November 2025, siri perkongsian diteruskan dengan pembentangan bertajuk Digital Document Management System (DDMS) 2.0 oleh Puan Azura Mohamad Hashim, Timbalan Ketua Pustakawan dari PTAR UiTM Shah Alam. Sesi ini memberi tumpuan kepada keupayaan DDMS 2.0 dalam mempertingkat pengurusan dokumen digital melalui ciri-ciri yang lebih cekap, sistematik dan mesra pengguna.
Perkongsian seterusnya disampaikan oleh Puan Siti Salwa binti A. Rahman, Pustakawan Kanan dari PTAR UiTM Shah Alam, yang membawakan tajuk berkaitan Repositori Memori UiTM. Repositori ini berperanan sebagai platform untuk mengumpul, memelihara dan mendigitalkan maklumat sejarah serta warisan institusi, termasuk peristiwa penting, naratif tokoh dan kisah komuniti yang telah membentuk identiti UiTM sepanjang perkembangan universiti.
Akhir sekali, program diteruskan dengan sesi mengenai Repositori Dokumen Universiti (RDU) yang disampaikan oleh Puan Rizana binti Radwan, Timbalan Ketua Pustakawan (M)(KUP) dari PTAR UiTM Shah Alam. RDU berfungsi sebagai pusat penyimpanan digital bagi dokumen rasmi dan penting universiti yang boleh diakses secara dalam talian oleh warga kampus, sekali gus menyokong keperluan rujukan dan pengurusan maklumat institusi secara lebih efisien.










