Sambutan Hari Arkib Antarabangsa & Hari Pustakawan Malaysia 2026: Memusakakan Naskhah Menghidupkan Sejarah

 

BANGI, 10 Jun 2026 – Perpustakaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berjaya menganjurkan Sambutan Hari Arkib Antarabangsa Peringkat Perpustakaan UKM dan Hari Pustakawan Malaysia 2026 yang bertemakan “Memusakakan Naskhah, Menghidupkan Sejarah”. Program yang berlangsung di Perpustakaan Tun Seri Lanang ini menghimpunkan kira-kira 120 orang warga perpustakaan dan universiti bagi meraikan kepentingan pemeliharaan khazanah ilmu, sejarah institusi serta profesion kepustakawanan.

Majlis telah dirasmikan oleh Ketua Pustakawan UKM, Encik Hazmir Haji Zainal. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan usaha pendigitalan dan pemuliharaan bahan sebagai medium untuk memastikan sejarah dan warisan institusi terus lestari serta dapat diakses oleh generasi akan datang. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga perpustakaan atas komitmen mereka dalam memperkasa agenda pemeliharaan memori institusi melalui pelbagai inisiatif yang dilaksanakan.

Antara segmen utama yang mendapat perhatian ialah slot Wawancara Tokoh: Memori dan Kenangan UKM Kampus Sabah yang menampilkan Tuan Haji Abd. Razak Hussin dan Dr. Kaswandi Md. Ambia sebagai panel. Sesi tersebut membawa hadirin mengimbau sejarah penubuhan UKM Kampus Sabah yang diwujudkan bagi memenuhi keperluan pendidikan tinggi di negeri itu, di samping berkongsi pengalaman serta kenangan sepanjang berkhidmat dan menuntut di kampus berkenaan.
 
 
Melalui perkongsian yang sarat dengan nostalgia, para panel turut menceritakan suasana pembelajaran yang unik serta hubungan erat antara pensyarah dan pelajar yang menjadi antara kekuatan utama UKM Kampus Sabah pada ketika itu. Mereka juga menyuarakan harapan agar baki tanah seluas empat ekar di bekas tapak kampus tersebut dapat dimanfaatkan oleh universiti melalui penubuhan pusat atau institut penyelidikan bagi meneruskan legasi UKM di Sabah.
 
Sambutan yang amat menggalakkan terhadap sesi wawancara ini turut mencetuskan cadangan agar satu sesi lanjutan diadakan pada masa hadapan bagi mengetengahkan perspektif dan pengalaman bekas pelajar UKM Kampus Sabah.
 
Bagi memberi pendedahan praktikal kepada pengunjung, penganjur turut mengadakan slot “Dr. Buku: Rawat & Pulihara”. Program ini menampilkan pembantu pemuliharaan yang mempunyai kepakaran dalam bidang pemeliharaan dan pemuliharaan bahan perpustakaan. Melalui demonstrasi secara langsung, para peserta didedahkan kepada teknik penjilidan, pembaikan tisu, pembersihan bahan, pendigitalan serta penyelenggaraan bahan media seperti mikrofilem dan pita VHS.
 
 
Sesi tersebut mendapat sambutan yang amat memberangsangkan bukan sahaja daripada warga UKM, malah turut menarik penyertaan kakitangan perpustakaan institusi lain seperti Perpustakaan Al-Hikmah, Perpustakaan Jeneral Tun Ibrahim dan Perpustakaan Universiti Sains Islam Malaysia yang hadir bagi menimba ilmu serta berkongsi pengalaman dalam bidang pemuliharaan bahan.
 
Acara kemuncak program ialah Telaah Memoir Pustakawan: Kisah Orang Pustaka 2.0 yang menampilkan Datin Nor Azzah Momin dan Dr. Mazni Md. Yusof sebagai panel. Sesi ini turut diserikan dengan Slot Istimewa: Sesi Buku Bersambut bersama Netizen Buku yang memberi ruang kepada warga perpustakaan berkongsi ulasan dan pengalaman pembacaan mereka.
 
 
 
Antara perkongsian yang paling menyentuh hati ialah pengalaman peribadi Dr. Mazni Md. Yusof dalam menghadapi cabaran kesihatan sepanjang kerjaya beliau. Kisah ketabahan dan semangat yang dikongsikan telah memberi inspirasi serta motivasi kepada para hadirin.
 
Sepanjang program berlangsung, para pengunjung turut berpeluang melawat pameran “Yang Terawal di UKM dan Kenangan Kampus Sabah”. Pameran tersebut mengetengahkan pelbagai artifak bersejarah termasuk peralatan pejabat klasik seperti telefon dan mesin perakam waktu, jubah akademik, kad kampus serta bahan-bahan yang merakam sejarah perkembangan universiti.
 
Antara bahan yang paling mencuri perhatian ialah bingkai tandatangan terakhir kakitangan sempena penutupan UKM Kampus Sabah, yang membangkitkan nostalgia dan rasa sebak dalam kalangan pengunjung. Buat julung kalinya juga, Perpustakaan UKM menampilkan Koleksi Peribadi Milik Allahyarhamah Puan Sri Sohair Abdel Moneim Sery, sekali gus memberi peluang kepada warga universiti menelusuri koleksi berharga yang mempunyai nilai sejarah dan intelektual yang tinggi.
 
 
 
Penganjuran program ini bukan sahaja berjaya memeriahkan sambutan Hari Arkib Antarabangsa dan Hari Pustakawan Malaysia 2026, malah menjadi platform penting dalam memperkukuh jaringan kerjasama antara institusi perpustakaan, mempromosikan kepentingan pemeliharaan warisan dokumentari serta menyemai penghargaan terhadap sejarah dan memori institusi dalam kalangan warga universiti.
 
Oleh : Ruzita Kamis
Penolong Ketua Pustakawan
Pelancaran Buku Digital 'Paksi Ilmu: Menelusuri Legasi Perpustakaan UMS' Sempena 30 tahun Perpustakaan UMS

Pelancaran Buku Digital 'Paksi Ilmu: Menelusuri Legasi Perpustakaan UMS' Sempena 30 tahun Perpustakaan UMS

📘 Buku Digital 'Paksi Ilmu: Menelusuri Legasi Perpustakaan UMS' 🌐

Arkib Universiti membawakan Paksi Ilmu: Menelusuri Legasi Perpustakaan UMS—sebuah buku digital khas yang diterbitkan sempena 30 tahun Perpustakaan UMS. Buku digital ini menyatukan sejarah tiga dekad dengan visi masa hadapan, selaras dengan aspirasi 'UMS the BRAIN of Borneo'. Pelancaran buku digital ini telah dilaksanakan pada 9 Jun semasa Hari Arkib Antarabangsa peringkat UMS 2026 oleh Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansur.

Naratif sahih, refleksi alumni, imbasan memori tokoh dan evolusi kegemilangan Perpustakaan UMS kini sedia untuk diterokai secara digital di hujung jari anda!

👇 Klik pautan di bawah untuk membaca secara dalam talian:
🔗 https://heyzine.com/flip-book/5c245572f7.html

Sejarah Lisan bersama Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr. Abu Hassan bin Othman, Mantan Naib Canselor Pertama UMS

Sesi Temu Bual Sejarah Lisan bersama Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr. Abu Hassan bin Othman, Mantan Naib Canselor Pertama UMS | 25.09.2025.
 
Pada 25 September, satu sesi temu bual sejarah lisan telah diadakan bersama Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr Abu Hassan bin Othman, mantan Naib Canselor pertama Universiti Malaysia Sabah (UMS). Temu bual ini dikendalikan oleh Puan Anna Michael, Timbalan Ketua Pustakawan Kanan dan merupakan hasil kerjasama antara Arkib UMS, Jabatan Perpustakaan dan Pusat Komunikasi Korporat.
 
Sesi ini bertujuan untuk merakamkan pengalaman Tan Sri dalam penubuhan dan perkembangan awal UMS serta pandangan Tan Sri bagi UMS untuk kekal cemerlang dalam era digital dan globalisasi ini. Usaha ini amat signifikan dalam mengisi jurang maklumat yang tidak direkodkan secara formal serta melengkapkan memori institusi universiti.
 
Hasil temu bual sejarah lisan ini akan dijadikan sebagai bahan rujukan dalam bentuk video, transkrip, penerbitan buku atau biografi, sekaligus memperkukuh warisan intelektual dan identiti institusi untuk tatapan warga universiti dan generasi akan datang.

Hari Arkib Antarabangsa peringkat Universiti Malaysia Sabah 2026

KOTA KINABALU: Sambutan Hari Arkib Antarabangsa Peringkat Universiti Malaysia Sabah (UMS) 2026 yang bertemakan “Archives for Justice: Rights, Memory & Futures” telah berlangsung dengan jayanya di Perpustakaan UMS pada 9-12 Jun 2026. Program yang diketuai oleh Pengarah Arkib Universiti, Puan Anna Michael ini menekankan kepentingan arkib dalam memelihara hak, memori, dan integriti institusi.

Majlis perasmian pada 9 Jun telah disempurnakan oleh Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor. Beliau turut melancarkan 'UMS dalam Sejarah' serta buku digital bertajuk “Paksi Ilmu: Menelusuri Legasi Perpustakaan UMS” yang diterbitkan sempena 30 tahun Perpustakaan.

Antara pengisian utama program termasuklah sesi Rikau Arkib (Bicara Tokoh) yang membincangkan tajuk “Navigasi Keadilan Tadbir Urus: Mengurus Rekod, Merakam Sejarah Lisan demi Memori Kolektif UMS”. Sesi tersebut menampilkan Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor sebagai pembicara dan Profesor Madya Dr. Jurry Foo sebagai pemudah cara.

Selain itu, program turut dimeriahkan dengan Pameran UMS dalam Sejarah anjuran Arkib Universiti, serta pelbagai pameran, jualan buku, dan jualan kraftangan daripada jabatan dalaman UMS serta agensi luar.

Suasana majlis juga diserikan dengan persembahan koir 'Semarak Ilmu' oleh kakitangan Perpustakaan UMS. Lagu yang dipersembahkan merupakan hasil nukilan mantan Ketua Pustakawan, Puan Dg. Rukiah Ag. Amit, sekali gus membawa para hadirin mengimbau memori dan legasi sumbangan beliau terhadap pembangunan perpustakaan.

Bagi memupuk budaya hidup sihat dan seimbang, aktiviti “Jom Sihat: Jom Tai Chi” turut diadakan pada 10 Jun bagi mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga kampus.

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen jitu UMS dalam memperkukuh amalan pengurusan rekod yang sistematik dan berkesan. Seiring dengan matlamat tersebut, Taklimat Pengurusan Rekod: Tatacara Pengurusan, Pendigitalan dan Pemindahan Rekod Bernilai Arkib di UMS turut dilaksanakan pada 11 Jun bagi meningkatkan kesedaran warga universiti tentang kepentingan memelihara rekod serta warisan institusi demi generasi masa hadapan.

Hubungi Kami

Urusetia KFK Pengurusan Arkib

Perpustakaan Tun Abdul Razak,

Universiti Teknologi MARA,

40450 Shah Alam,

Selangor Darul Ehsan Malaysia

July 2026
M T W T F S S
1 2 3 4
5 6 7 8 9 10 11
12 13 14 15 16 17 18
19 20 21 22 23 24 25
26 27 28 29 30 31