Serdang, 10 Julai 2025 – Seramai 15 orang staf Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS) telah menyertai Bengkel Sejarah Lisan: Mendokumentasikan Pengalaman dan Kisah yang berlangsung di Auditorium Lukut 1, Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM). Program ini dianjurkan oleh Bahagian Media, Arkib dan Pemuliharaan, PSAS sebagai salah satu inisiatif memperkukuh usaha pendokumentasian sejarah lisan institusi.
Bengkel yang dijalankan dari jam 9.00 pagi hingga 1.00 tengah hari ini dikendalikan oleh Encik Jafalizan Bin Md Jali, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Maklumat, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, yang berpengalaman luas dalam bidang sejarah lisan.
Objektif utama bengkel ini adalah untuk memberi pendedahan secara teori dan amali kepada peserta berkaitan metodologi sejarah lisan, teknik temu bual, etika pendokumentasian, serta penggunaan peralatan rakaman bagi tujuan merekod dan memelihara naratif sejarah dari sumber primer.
Bengkel ini memainkan peranan penting dalam mempersiapkan kakitangan perpustakaan sebagai pemudah cara kepada usaha sistematik mendokumentasikan kisah-kisah warga UPM yang menyumbang kepada pembangunan institusi sejak penubuhan awal sebagai Sekolah Pertanian pada tahun 1931.
Penganjuran bengkel ini juga bertepatan dengan tema sambutan Hari Arkib Antarabangsa peringkat universiti tahun ini, “94 Tahun UPM: Menghargai Sejarah, Merencana Masa Depan,” yang menyeru warga UPM agar menghargai warisan sejarah sambil merancang masa depan yang lebih tersusun dan bermakna.
Impak langsung daripada program ini ialah pewujudan pasukan kerja terlatih yang akan melaksanakan projek sejarah lisan UPM, seterusnya menambah koleksi arkib institusi dengan rakaman cerita, pengalaman dan memori tokoh-tokoh penting serta kakitangan terdahulu yang mungkin tidak didokumentasi secara konvensional sebelum ini.
Dengan adanya bengkel seperti ini, PSAS akan terus menunjukkan komitmen tinggi dalam menggalas tanggungjawab memelihara memori institusi dan memperkasa budaya dokumentasi sebagai asas kepada pembinaan identiti universiti dan rujukan masa hadapan.



 
				 
		 
                		