26 November 2025. Bahagian Arkib Universiti telah mengadakan sesi libat urus bersama Bahagian Hal Ehwal Kurikulum bagi memperkukuh keupayaan universiti dalam aspek pengurusan rekod, pemeliharaan maklumat akademik serta keselarasan dokumentasi kurikulum. Sesi yang berlangsung di Kompleks Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah ini diketuai oleh Encik Ahmad Amiri Mohamad (Pengarah Bahagian Arkib Universiti) dan Profesor Madya Ts. Dr. Suriyani Ariffin (Pengarah Bahagian Hal Ehwal Kurikulum).
Pertemuan ini menjadi medan perkongsian strategik mengenai pemerkasaan proses pendokumentasian kurikulum, penyeragaman rekod akademik serta memastikan pematuhan terhadap tadbir urus dokumen yang lebih sistematik di peringkat universiti. Kedua-dua bahagian turut menyentuh peluang kolaborasi baharu termasuk pembangunan garis panduan, peningkatan kecekapan sistem rekod digital serta pelaksanaan amalan terbaik pengurusan arkib untuk menyokong keperluan akademik semasa.
Sesi libat urus ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan kerja antara bahagian, malah membuka ruang kepada usaha berterusan untuk memastikan setiap maklumat akademik yang dihasilkan oleh universiti terpelihara, mudah dicapai dan memberi nilai jangka panjang kepada warga kampus.




