Mesyuarat Jawatankuasa Kumpulan Fokus Khas (KFK) Pengurusan Arkib Universiti Awam Bil. 1/2025

Shah Alam, 24–25 November 2025 – Mesyuarat Jawatankuasa Kumpulan Fokus Khas (KFK) Pengurusan Arkib Universiti Awam Bil. 1/2025 telah berlangsung dengan jayanya bertempat di Bahagian Arkib Universiti (BARU), Jabatan Perpustakaan UiTM Shah Alam. Mesyuarat yang diadakan secara fizikal ini menghimpunkan ahli jawatankuasa dari Universiti Awam bagi membincangkan hala tuju strategik pengurusan arkib.

Sesi pada 24 November 2025 membuka ruang perbincangan yang lebih dinamik dan berfokus, merangkumi isu pemeliharaan rekod bernilai sejarah, pemantapan dasar pengurusan arkib, serta pengukuhan jaringan kerjasama antara institusi. Ahli jawatankuasa turut mengemukakan pelbagai pandangan dan cadangan untuk memperkukuh amalan terbaik (best practices), termasuk penambahbaikan terhadap sistem penyimpanan rekod agar lebih mampan dan berkesan.

Pada sebelah petang, program diteruskan dengan sesi perkongsian amalan terbaik dalam pengurusan rekod dan arkib. Sesi pertama dibentangkan oleh Cik Norhazura binti Hamzah, Pustakawan Kanan dari Universiti Putra Malaysia (UPM), yang menyampaikan topik berkaitan pembangunan repositori arkib Universiti Awam. Perkongsian ini memberikan gambaran komprehensif mengenai pendekatan strategik serta pengalaman pelaksanaan repositori arkib di pelbagai institusi.

Hari Kedua: 25 November 2025

Siri perkongsian diteruskan dengan sesi bertajuk Digital Document Management System (DDMS) 2.0, disampaikan oleh Puan Azura Mohamad Hashim, Timbalan Ketua Pustakawan dari PTAR UiTM Shah Alam. Sesi ini menekankan keupayaan DDMS 2.0 dalam meningkatkan pengurusan dokumen digital melalui ciri-ciri yang lebih efisien, sistematik dan mesra pengguna.

Perkongsian seterusnya disampaikan oleh Puan Siti Salwa binti A. Rahman, Pustakawan Kanan dari PTAR UiTM Shah Alam, yang membentangkan mengenai Repositori Memori UiTM. Repositori ini berfungsi sebagai platform penting dalam mengumpul, memelihara dan mendigitalkan maklumat sejarah serta warisan institusi, termasuk peristiwa bersejarah, kisah tokoh dan naratif komuniti yang membentuk identiti UiTM.

Program diteruskan dengan sesi mengenai Repositori Dokumen Universiti (RDU) yang dibentangkan oleh Puan Rizana binti Radwan, Timbalan Ketua Pustakawan (M)(KUP) dari PTAR UiTM Shah Alam. RDU berperanan sebagai pusat penyimpanan digital bagi dokumen rasmi universiti yang boleh diakses secara dalam talian oleh warga kampus, sekali gus menyokong keperluan rujukan serta mempertingkat pengurusan maklumat institusi secara lebih teratur dan berkesan.

 

 

Hubungi

Bahagian Arkib Universiti (BARU)
Perpustakaan Tun Abdul Razak,
Blok F, Kompleks Kenanga,
Universiti Teknologi MARA,
40450 Shah Alam,
Selangor Darul Ehsan. Malaysia
Telefon: 03-55443726
Emel: azniza180@uitm.edu.my