Shah Alam, 23 Mei 2025 – Taklimat dan Latihan Document Digital Management System (DDMS) telah berjaya dilaksanakan bertempat di Makmal Komputer 1, PTAR. Program ini melibatkan penyertaan aktif daripada warga Fakulti Muzik dan Institut Sains, UiTM Shah Alam, dalam usaha memperkukuh kemahiran pengurusan dokumen digital selaras dengan keperluan pengurusan rekod universiti.
Latihan ini dikendalikan oleh Puan Azura Mohamad Hashim selaku jurulatih utama dan dibantu oleh fasilitator, Cik Norhani Hafizah Binti Ahmad Nor Hizam. Dengan pendekatan mesra dan interaktif, para peserta bukan sahaja diberi pendedahan menyeluruh terhadap sistem DDMS, malah turut diberi peluang menjalani latihan amali bagi memastikan pemahaman yang mendalam terhadap proses pendigitalan dan pengurusan rekod rasmi.
Sepanjang sesi, para peserta menunjukkan komitmen tinggi serta minat yang mendalam untuk meningkatkan kecekapan dan pematuhan terhadap tatacara pengurusan dokumen. Pelaksanaan latihan ini dilihat sebagai satu langkah proaktif dalam memperkasa budaya kerja digital dan memperkukuh integriti penyimpanan maklumat di peringkat fakulti dan institut.
Dengan berlangsungnya program ini, diharapkan peserta akan menjadi agen perubahan dalam memartabatkan sistem pengurusan dokumen digital di UiTM, selaras dengan aspirasi universiti ke arah tadbir urus yang cekap, telus dan lestari.