Pada 25 Jun 2024, Unit Arkib UiTM Cawangan Melaka telah menerima penyerahan rekod penting universiti yang bernilai arkib, iaitu sebuah naskhah Memorandum Persefahaman (MoU/MoA) dari Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri, UiTM Cawangan Melaka Kampus Alor Gajah. Penyerahan rekod ini adalah selaras dengan Dasar Penilaian dan Perolehan Rekod Awam Arkib Negara Malaysia, yang menetapkan bahawa rekod awam yang berada di bawah jagaan atau kawalan pejabat awam perlu dipindahkan kepada Arkib Negara melalui proses pemindahan mengikut Seksyen 28, Akta Arkib Negara 2003 (Akta 629). Selain itu, penyerahan rekod ini juga menyokong pelaksanaan Dasar Pengurusan Rekod UiTM yang berkuat kuasa sejak 18 November 2020, yang menetapkan prinsip dan teras pengurusan rekod yang perlu dipatuhi oleh setiap Pusat Tanggungjawab (PTJ) di universiti. Dengan penyerahan ini, Unit Arkib UiTM Cawangan Melaka memastikan rekod penting universiti dapat dipelihara dan dikawal selia dengan teratur, mengikut dasar yang telah ditetapkan, demi memelihara warisan dokumentasi akademik dan pentadbiran universiti untuk kegunaan masa depan.