Pada 5 November 2025 (Rabu), telah diadakan Latihan Data and Document Management System (DDMS) 2.0 bersama Solar Research Institute (SRI) bertempat di Level 9, Blok 4, Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam.
Latihan ini dikendalikan oleh Cik Noor Syafika selaku trainer, dengan dibantu oleh Pn. Norhafizah sebagai fasilitator program. Objektif utama latihan ini adalah untuk memberikan pendedahan dan kefahaman yang lebih mendalam kepada warga SRI mengenai penggunaan sistem DDMS 2.0 dalam pengurusan rekod dan dokumen rasmi universiti secara lebih sistematik, selamat dan efisien.
Sepanjang sesi latihan, para peserta didedahkan dengan tatacara penggunaan DDMS 2.0, termasuk kaedah memuat naik, menyimpan, serta mengurus dokumen mengikut klasifikasi rekod jabatan masing-masing. Turut disentuh ialah aspek keselamatan data, pematuhan kepada dasar pengurusan rekod universiti, serta kepentingan pendigitalan dalam meningkatkan kecekapan kerja.
Latihan ini turut memberi ruang kepada peserta untuk berinteraksi secara langsung dengan fasilitator melalui sesi soal jawab dan demonstrasi praktikal. Inisiatif ini diharap dapat membantu meningkatkan tahap kefahaman pengguna terhadap sistem DDMS 2.0 serta memperkukuh budaya pengurusan maklumat digital di peringkat institut.


