Siri 3 Pemantapan Pengurusan Rekod, Arkib dan Galeri UiTM telah dilaksanakan pada 28 Oktober 2025 (Selasa) jam 10.00 pagi secara dalam talian melalui platform Google Meet. Program ini dianjurkan oleh Bahagian Arkib (BARU) dan dihadiri oleh semua wakil Arkib UiTM Cawangan.
Siri kali ini memberi tumpuan kepada dua topik utama iaitu “Pengurusan Dokumen Rahsia Rasmi UiTM: Punca Kuasa” dan “Subject Matter Expert – Digital Archivist”. Pengisian pertama menekankan kepada Surat Pekeliling Am Bilangan 8 Tahun 2024 (SPA Bil. 8/2024) sebagai punca kuasa utama dalam pengurusan dokumen rahsia rasmi di UiTM. Melalui pekeliling tersebut, semua warga universiti diingatkan tentang kepentingan pematuhan terhadap prosedur keselamatan, pengelasan, penyimpanan dan pelupusan dokumen rahsia rasmi mengikut peraturan.
Selain itu, sesi bersama Subject Matter Expert – Digital Archivist turut memberi pendedahan berkenaan peranan dan tanggungjawab Digital Archivist dalam mengurus, memelihara serta memastikan kebolehaksesan maklumat dan rekod digital universiti.
Siri 3 Pemantapan Pengurusan Rekod, Arkib dan Galeri UiTM ini telah berjaya mencapai objektifnya dengan memastikan keseragaman dalam pelaksanaan operasi BARU dan UAC, serta meningkatkan kompetensi kakitangan yang bertugas di kedua-dua unit tersebut.Selain itu, siri ini turut berperanan sebagai wadah untuk bertukar pandangan dan kepakaran dalam kalangan warga BARU dan UAC ke arah memperkukuh pengurusan rekod dan arkib universiti.


