Pada 18 hingga 19 Oktober 2023 (Rabu – Khamis), Jabatan Arkib Universiti bersama Pusat Pembangunan Kompetensi (PPK) ILD UiTM telah menganjurkan Bengkel Migrasi Klasifikasi Fail UiTM bertempat di ILD Bandar Enstek, Negeri Sembilan. Program ini berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang dan melibatkan penceramah serta fasilitator jemputan dari Arkib Negara Malaysia (ANM).
Puan Kaszilawati binti Kasnan, Ketua Seksyen Konsultansi dan Latihan ANM, bertindak sebagai penceramah utama, manakala Puan Qahera binti Alian, Ketua Unit Latihan Arkib ANM, bertindak sebagai fasilitator. Bengkel ini bertujuan untuk memberikan bimbingan dan panduan dalam melaksanakan migrasi klasifikasi fail secara sistematik, selaras dengan piawaian yang ditetapkan oleh Arkib Negara Malaysia.
Bengkel yang telah berlangsung selama dua hari ini memfokuskan perkara berkaitan migrasi kasifikasi fail UiTM kepada para peserta bengkel. Peserta bengkel ini dihadiri oleh Pegawai Rekod Jabatan (PRJ) dan Pembantu Tadbir Rekod Jabatan (PTRJ) UiTM Shah Alam dan juga wakil dari Unit Arkib Cawangan seluruh negeri.
Sepanjang 2 hari ini para peserta bengkel diberikan taklimat dan penerangan mengenai migrasi klasifikasi fail sebelum para peserta diberikan latihan dan tugasan bagi menguji kefahaman mengenai migrasi klasifikasi fail. Setelah para peserta membuat latihan, beberapa peserta dari UiTM Shah Alam akan dipanggil untuk membuat pembentangan mengenai migrasi klasifikasi fail yang telah dibuat.
Selain itu, Unit Arkib Cawangan Melaka telah dipilih untuk menjadi wakil Cawangan bagi sesi pembentangan migrasi klasifikasi fail UiTM. Cik Ilya Nur Fateen binti Othman, Pustakawan PTAR UiTM Cawangan Melaka telah membentangkan migrasi klasifikasi fail yang telah dibuat bagi klasifikasi fail PTAR UiTM Cawangan Melaka.
Semoga bengkel ini dapat menyokong usaha-usaha memberi kesedaran kepada semua Warga UiTM mengenai kepentingan Pengurusan Rekod Universiti yang mesti diketahui oleh semua warga UiTM terutama PTJ di bahagian pengurusan tertinggi UiTM.