Pada 1 hingga 2 Ogos 2023, dua staf Pembantu Pemuliharaan dari Unit Arkib, Perpustakaan Tun Abdul Razak UiTM Cawangan Melaka, iaitu Encik Jonizam bin Abu Kasim dan Encik Muhamad Asri bin Abu Hashim, telah dijemput untuk menyertai Bengkel Pemuliharaan Rekod (Selepas Bencana) yang dianjurkan oleh Arkib Negara Malaysia. Bengkel yang berlangsung di Dewan Tun Rahah, Memorial Tun Abdul Razak, Kuala Lumpur ini diadakan dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang dan bertujuan untuk memberi penekanan kepada penjawat awam tentang kepentingan pemeliharaan rekod penting negara, terutamanya selepas bencana. Bengkel ini turut memberikan pendedahan mengenai konsep dan kaedah pemuliharaan rekod selepas bencana, agar rekod awam dapat dipelihara daripada sebarang kerosakan, kemusnahan, atau kehilangan. Objektif bengkel ini adalah untuk meningkatkan kefahaman mengenai pemeliharaan rekod kerajaan selaras dengan Akta Arkib Negara 2003 dan panduan pentadbiran, serta meningkatkan pengetahuan dalam menyelamatkan rekod selepas bencana. Peserta juga diberi pendedahan secara teori dan praktikal melalui modul-modul seperti Taklimat Pengenalan Kepada Bencana Rekod, Pemeliharaan & Pemuliharaan Rekod, serta Latih Amal Pemuliharaan Rekod akibat banjir, kebakaran, dan bahan yang ditumbuhi kulat.