11 Jun 2024, Selasa – Unit Arkib Cawangan, Perpustakaan Tun Abdul Razak UiTM Cawangan Melaka telah menganjurkan Bengkel Pengurusan Rekod dan Format Surat Rasmi UiTM Bersama Pegawai Rekod Jabatan (PRJ) dan Pembantu Tadbir Rekod Jabatan (PTRJ) UiTM Cawangan Melaka yang telah dilantik oleh Arkib Negara Malaysia Negeri Melaka.
Bengkel ini telah dimulakan dengan ucapan aluan dan taklimat pengenalan dan perkhidmatan Unit Arkib Cawangan yang disampaikan oleh Encik Norhazlan bin Nordin, Timbalan Ketua Pustakawan Kanan. Sesi seterusnya bengkel diteruskan dengan taklimat format surat rasmi dan taklimat pengurusan rekod oleh Cik Ilya Nur Fateen binti Othman, Pustakawan. Bengkel ini telah disertai oleh 62 orang peserta terdiri daripada staf yang telah dilantik menjadi PRJ & PTRJ daripada Kampus Alor Gajah, Bandaraya dan Jasin. Kursus ini telah dikendalikan secara bersemuka di Dewan Bendahara, UiTM Cawangan Melaka Kampus Alor Gajah.
Objektif penganjuran kursus ini adalah untuk memberi kefahaman mengenai asas pengurusan fail dan rekod secara teori, serta memahami tugas-tugas dalam mengendalikan fail dan rekod. Kursus ini juga bertujuan untuk menerangkan keperluan pengendalian rekod seperti yang ditetapkan dalam Akta Arkib Negara 2003 [Akta 629] dan peruntukan perundangan lain yang berkaitan. Selain itu, peserta diajar untuk melaksanakan urusan sistem fail dengan sistematik mengikut piawaian dan prosedur pengurusan rekod yang ditetapkan oleh Arkib Negara Malaysia, serta mengaplikasi proses pengurusan rekod mengikut standard dan panduan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tersebut. Kursus ini juga memberi pengetahuan tentang cara penyediaan surat rasmi berdasarkan garis panduan yang ditetapkan oleh Arkib Negara Malaysia dan UiTM.