Shah Alam, 25 Februari – Institut Pengajian Siswazah (IPSis) telah menyertai latihan amali Digital Document Management System (DDMS) 2.0 yang berlangsung di Makmal Komputer Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) Undang-Undang. Latihan ini dihadiri oleh 15 orang peserta yang terdiri daripada pegawai dan staf IPSis.
Taklimat berkenaan Klasifikasi Fail Baharu turut diberikan dalam sesi ini oleh penceramah En. Mohd Alfarabie Mohd Nasir dengan dibantu oleh fasilitator, En. Muhammad Azrul Nizam bin Abdul Rahman. Peserta diberikan pemahaman mengenai kaedah pengelolaan dokumen digital yang lebih sistematik serta penerapan sistem klasifikasi fail yang selaras dengan keperluan DDMS 2.0.
Latihan ini memberi pendedahan mendalam kepada peserta dalam aspek pengurusan dokumen secara digital. Dengan pemahaman yang lebih jelas tentang penggunaan DDMS 2.0, peserta dijangka dapat mengaplikasikan sistem ini dalam tugasan harian, meningkatkan kecekapan pengurusan fail, dan memastikan keselamatan serta integriti rekod secara lebih efektif.
Sebagai persiapan ke arah pelaksanaan penuh sistem ini pada 1 Mac 2025, IPSis sedang memperkemaskan proses dokumentasi dan penyelarasan fail sedia ada dengan sistem baharu. Langkah-langkah seperti latihan dalaman, penyusunan semula fail, serta pemantauan pematuhan terhadap piawaian DDMS 2.0 sedang giat dijalankan bagi memastikan kelancaran peralihan ke sistem digital sepenuhnya.
Dengan komitmen yang tinggi, IPSis bersedia untuk mengadaptasi sistem DDMS 2.0 secara menyeluruh, seiring dengan inisiatif UiTM dalam memperkukuh pengurusan dokumen digital yang lebih cekap dan inovatif.