Pada 8 Mac 2023 (Rabu), Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Cawangan Melaka telah menganjurkan Program Outreach: Taklimat Pengurusan Rekod Universiti bertempat di Pejabat Polis Bantuan, UiTM Cawangan Melaka Kampus Jasin. Program ini bermula pada jam 9:00 pagi dan dihadiri oleh warga universiti yang terlibat dalam pengurusan fail dan rekod.
Taklimat ini bertujuan memberi pemahaman asas tentang pengurusan fail dan rekod secara teori serta memperkukuhkan kefahaman dalam pengendalian tugas-tugas berkaitan. Selain itu, peserta turut didedahkan dengan keperluan pengendalian rekod berdasarkan Akta Arkib Negara 2003 [Akta 629], peruntukan perundangan lain, serta piawaian dan prosedur yang ditetapkan oleh Arkib Negara Malaysia.
Melalui program ini, PTAR berusaha meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya pengurusan rekod universiti yang sistematik dan mematuhi standard yang ditetapkan. Aktiviti ini juga diharap dapat menyokong usaha UiTM dalam mempromosikan perkhidmatan Unit Arkib, khususnya kepada pihak pengurusan tertinggi, bagi memastikan rekod universiti diurus dengan cekap, tepat, dan mematuhi keperluan perundangan.